Kedaulatan Undang-undang: Akar Umbi UMNO Sambut Baik Keputusan Mahkamah – Azhari

KUALA LUMPUR, 29 Sept – “Kita di akar umbi menyambut baik keputusan mahkamah ini, setelah sekian lama kes tersebut menjadi sebutan di media sosial hingga pelbagai gelaran tidak enak diberikan melibatkan pemimpin UMNO.”

Demikian menurut Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari yang menjelaskan sesuatu yang menjadi pegangan ahli UMNO yang setia, bahawa ahli UMNO harus percaya dan berpegang teguh dengan prinsip kedaulatan undang-undang sebagaimana tertulis dalam rukun negara.

“Semoga keputusan kes  tersebut membuka jalan agar kes-kes lain pemimpin UMNO diberi keputusan yang menggembirakan ahli di akar umbi. Amin,” katanya kepada UMNO Online.

Dilaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini telah melepas dan membebaskan Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan daripada dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd  Najib Tun Abdul Razak dan memberi pernyataan palsu,

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh memutuskan perkara tersebut selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah untuk menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad Maslan berikutan tertuduh bersetuju untuk membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta semalam.

Mahkamah Tinggi pada 13 Julai lalu membenarkan permohonannya agar kes tersebut dipindah dan dibicarakan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu Ahmad Maslan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 21 Januari 2020 di atas semua pertuduhan tersebut. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.