Program Vaksinasi Untuk Remaja Disambut Baik, Mampu Kekang Penularan COVID-19

KUALA LANGAT, 28 Sept – Program vaksinasi untuk remaja terutama kepada para pelajar yang dilaksanakan oleh kerajaan bermula minggu lalu disambut baik oleh orang ramai termasuklah Setiausaha Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPNS), Muhd Hanif Jamaluddin.

Katanya ini kerana berdasarkan pengalaman beliau berada di unit forensik bagi menguruskan jenazah pesakit COVID-19 terdapat perbezaan dari segi bilangan mayat yang diuruskan sebelum dan selepas program vaksinasi dilaksanakan bermula Februari lalu.

“Saya antara yang terlibat secara langsung untuk pengurusan jenazah di Banting. Bertugas di forensik hampir setiap hari, saya kira vaksin ini sangat penting dan sangat terbaik kerana waktu mula-mula saya terlibat sehari sekurang-kurang lapan hingga 10 jenazah yang kami uruskan.

“Alhamdulillah hari ini sampai kadang-kadang ada sehari itu tidak ada langsung jenazah, jadi pemberian vaksin sangat penting untuk rakyat Malaysia khususnya kita sudah pergi ke bahagian remaja pula.

“Jadi mudah-mudahan COVID-19 ini dapat dibasmi dan dikekang dengan pemberian vaksin,” katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Kuala Langat.

Sementara itu Pemuda MIC Negeri Selangor turut melaksanakan kempen melalui media sosial bagi memberikan pendedahan kepada masyarakat India berkenaan kepentingan mengambil vaksin.

Ketuanya Sritheran Renganathan yang juga merangkap Ketua Pemuda MIC Kuala Langat berkata respon melalui kempen tersebut juga menggalakkan malah ramai dalam kalangan pelajar ternanti-nanti untuk mendapatkan vaksin.

“Kami memang giat memberi kesedaran kepada masyarakat dengan mengambil kira kepentingan vaksin kerana kalau dilihat kadar kematian dan kadar kes positif masih lagi tinggi.

“Semasa vaksin sudah diperkenalkan kami membuat kempen-kempen terutama kepada golongan berisiko seperti warga emas dan yang bekerja.

“Kini bila diperkenalkan kepada pelajar-pelajar sekolah, kami memberi kesedaran kepada mereka melalui media sosial seperti Facebook, Whatapps dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Muhd Hanif dan Sritheran ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Daerah Kuala Langat ketika menyertai UMNO Bahagian Kuala Langat menyantuni para pelajar yang menerima suntikan vaksin, baru-baru ini.

Sumbangan sarapan pagi turut diberikan kepada 8,000 pelajar sepanjang pemberian vaksin itu yang berlangsung selama enam hari yang berakhir pada Selasa.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat Zurihan Yusop. – UMNO Online