Agenda Pembunuhan Watak… ‘Kluster Mahkamah’ Rekaan Pasukan Propaganda – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan istilah ‘kluster mahkamah’ direka oleh pasukan propaganda sebagai usaha berterusan memburuk-burukkan sebilangan pimpinan UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya ianya sebagai character assassination yang seterusnya selepas menyaksikan sebilangan besar rakyat mula hilang keyakinan terhadap parti politik yang mereka dokong dan kembali menaruh harapan kepada UMNO.

“Namun mereka buat-buat lupa bagaimana sebahagian daripada pemimpin parti politik mereka menyelamatkan diri daripada momokan ‘kluster mahkamah’.

“Mereka ini terlepas daripada momokan ‘kluster mahkamah’ dengan meninggalkan perjuangan parti dan melompat kepada parti yang menang PRU14,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu malah berkata pimpinan UMNO yang berani dan setia kepada perjuangan parti sahaja yang sanggup bertahan dan menentang walaupun dilabel dengan istilah tersebut.

“Justeru mereka yang lompat parti sebenarnya tiada moral standing untuk memberi pandangan terhadap individu yang konon mereka gelar sebagai ‘kluster mahkamah’.

“Dengan itu adalah wajar mereka menginsafi tingkah laku kerana rakyat zaman ini hidup di zaman bermaklumat yang mengerti apa yang berlaku,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.