Tukar Kerajaan Beri Implikasi Besar Kepada Negara… Ekonomi, Kestabilan Politik, Perpaduan Segala-galanya – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan bahawa implikasi menukar kerajaan pada 9 Mei 2018 terlalu besar terpaksa ditanggung negara.

Ujarnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), dalam aspek ekonomi, kestabilan politik dan perpaduan kaum adalah segala-galanya.

“Dewan Rakyat diberitahu sebanyak 15,537 perniagaan terpaksa ditutup dari tahun 2020 hingga Ogos 2021.

“Itu kita mengerti disebabkan impak pandemik yang tidak terkawal sepanjang tempoh tersebut, tetapi yang kita sukar mengerti apabila Dewan Rakyat diberitahu trend serupa turut berlaku sebelum pandemik COVID-19.

“Iaitu pada tahun 2019 apabila sebanyak 13,527 perniagaan terpaksa gulung tikar ketika itu,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya berkaitan isu terbabit.

Ini bermaksud katanya, keadaan perniagaan di Malaysia sebelum pandemik sudah pun seakan-akan pandemik walhal saiz ekonomi negara pada tahun 2017 atau kira-kira lima bulan sebelum PRU14 melonjak kepada sekitar RM1.3 trilion.

Dalam hal ini, Ahmad Zahid merujuk kepada Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) yang juga menunjukkan ekonomi negara pada 2017 direkodkan pada 5.9 peratus.

“Malangnya kadar pertumbuhan itu kemudian menurun kepada 4.7 peratus pada tahun 2018.

“Sebab itu kita percaya kerajaan BN adalah kerajaan terbaik dalam menerajui pentadbiran Malaysia.

“PRU15 kita perbetulkan semula keadaan demi kemakmuran bersama. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.