Sempena Hari Sungai Sedunia 2021, Perkuat Azam Jaga Kelestarian Sungai Malaysia – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kekhuatiran beliau dengan perkembangan semasa berhubung pencemaran sungai yang masih berterusan.

Oleh itu bersempena dengan Hari Sungai Sedunia 2021 beliau mengajak masyarakat untuk memperkuatkan azam bagi menjaga kelestarian sungai di Malaysia.

“Tiga punca sering dikaitkan dengan pencemaran sungai adalah buangan industri, aktiviti penternakan dan buangan domestik.

“Maka bersempena Hari Sungai Sedunia 2021 marilah kita memperkuatkan azam untuk menjaga kelestarian sungai di Malaysia.

“Menjalankan tanggungjawab menjadi mata dan telinga pihak berkuasa membendung apa sahaja aktiviti yang mencemari sungai,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah beliau lagi, meskipun kempen ‘Cintailah Sungai Kita’ telah bermula sejak Februari 1993, namun selepas kira-kira 28 tahun pencemaran sungai terus berlaku.

“Malah pada Mac 2021 ahli akademik mendakwa hanya 53 peratus lembangan sungai di Malaysia kini dikelaskan sebagai sungai bersih.

“Manakala 42 peratus adalah sungai tercemar dan bakinya dikategorikan sebagai tercemar teruk. Bukan suatu angka yang membanggakan.

“Sepanjang bulan September ini sahaja begitu banyak kes pencemaran dilaporkan terjadi di banyak sungai,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata sedangkan majoriti rakyat memahami bahawa sungai membekalkan sumber air mentah untuk diproses sebagai bekalan air bersih buat manusia

“Termasuk di Sungai Semenyih dan Sungai Buah di Selangor serta Sungai Kim Kim dan Sungai Tawakal di Johor baru-baru ini.

“Sungai juga membekalkan sumber makanan dan mata pencarian buat golongan tertentu. Ia khazanah yang perlu dipelihara.

“Terutama membabitkan tiga punca yang kerap dikaitkan dengan pencemaran sungai tersebut. Kita yang lebih mengetahui apa yang berlaku di persekitaran kita,” ujar beliau.

Bagaimanapun beliau berkata dalam pada masa yang sama pihak berwajib wajar menyemarakkan semula kempen ‘Cintailah Sungai Kita’ bagi memperkasakan lagi kesedaran semua pihak. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.