RMK-12 Penting Untuk Masa Depan, Sediakan Negara Kalis Krisis – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menekankan bahawa dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) 2021-2025 penting kepada masa hadapan negara.

Ini kerana katanya, ekonomi Malaysia perlu disedia supaya kalis krisis di samping ekonomi rakyat yang mesti dipulihkan kepada keadaan sebelum COVID-19 malah lebih baik dari itu.

“Jurang pembangunan antara negeri perlu didekatkan dan jurang pendapatan antara rakyat kaya dan miskin mesti dirapatkan,” katanya menerusi ciapan dalam laman Twitternya berkaitan hal terbabit.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian mahukan Putrajaya mesti pandang ke Timur iaitu negeri Pantai Timur, Sarawak dan Sabah.

“Kerajaan mesti pandang ke desa dan bangunkan luar bandar dengan perniagaan online dihebatkan. Bangsa usahawan diramaikan, Padukan ‘Keluarga Malaysia’, atasi miskin bandar dan rangkaian internet diperluas.”

Soal pendidikan juga adalah antara yang beliau mahuakan kerajaan tangani dengan serius kerana data pada 2018 yang menduduki PM ialah seramai 421,706 dengan 170,878 melanjutkan pelajaran sedangkan 250,828 tercicir.

“2020 ambil SPM 401,105. Jika setiap tahun 250 ribu tercicir, dalam empat tahun jumlah 1 juta rakyat tiada kemahiran.

“Penting subjek asas niaga untuk jadi usahawan iaitu bangsa usahawan diajar semasa sekolah menengah lagi,” katanya.

Berikut antara lain yang turut ditekankan untuk RMK-12:
1. Krisis kesihatan & krisis ekonomi mesti diatasi
2. Krisis politik dapat diatasi dengan mandat baru daripada rakyat
3. Pengangguran perlu diselesai
4. Pekerjaan bergaji tinggi mesti diperbanyak
5. Pendidikan formula terbaik atasi kemiskinan
6. Malaysia mesti cemerlang di peringkat global

Dilaporkan, sehingga 2020, sebanyak 11 Rancangan Malaysia Lima Tahun telah dirangka bagi menyokong rangka rancangan jangka panjang negara dan melalui rancangan terbabit, Malaysia telah melalui pelbagai perubahan dari sudut ekonomi dan sosial seiring arus globalisasi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.