Realitikan Bersama Rakyat, Pemuda UMNO Kuala Selangor Prihatin Bantu Mangsa Banjir

KUALA SELANGOR, 26 Sept – UMNO merealitikan khidmatnya untuk terus bersama rakyat khususnya dalam berdepan kesulitan sebagaimana Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Selangor mengambil inisiatif membantu mangsa banjir membersihkan kediaman mereka.

Ketuanya, Datuk Azley Yahya memaklumkan seramai 26 keluarga yang terkesan dengan banjir yang terdiri daripada 90 mangsa telah dibantu.

“Saya bersama Pemuda bahagian dan Skuad Sabil Malaysia melakukan gotong-royong dengan melaksanakan sanitasi di rumah-rumah mangsa selain pembersihan yang empat rumah meliputi dalam dan luar rumah.

“Skuad Sabil terdiri daripada 30 orang Pemuda bahagian bertugas untuk membantu membersihkan keadaan di sini.

“Kita jangkakan dua hari sahaja operasi pembersihan ini, semalam sudah bermula oleh Pemuda bahagian yang uruskan beberapa rumah dan hari ini kita cuba habiskan bakinya,” katanya ketika ditemui di Kampung Rantau Panjang, petang semalam.

Beliau memaklumkan banjir tersebut berlaku pada 20 September lalu namun pasukannya perlu menunggu sehingga air surut sebelum melakukan kerja pembersihan.

“Empat rumah yang baki ini kesan banjirnya teruk kerana dekat dengan sungai… jadi sebab inilah kita panggil Skuad Sabil untuk membantu.

“Majlis Belia Daerah Kuala Selangor juga menyertai kami dan sedikit sumbangan diberikan yang terdiri daripada makanan kering seperti beras, gula dan lain-lain untuk 10 rumah. Kami juga berikan karpet untuk beberapa buah rumah selain turut bekalkan juga pelitup muka kepada keluarga yang terjejas ini,” ujar beliau lagi. –UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.