Hasrat Kerajaan Turunkan Harga Kit Ujian Kendiri COVID-19 Disambut Baik – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik pengumuman kerajaan untuk menurunkan harga kit ujian kendiri COVID-19 menjelang akhir bulan ini.

Beliau berkata penurunan harga yang akan diumumkan sebelum sesi persekolahan pada 3 Oktober depan itu bagi memudahkan orang ramai terutama yang mempunyai ramai ahli keluarga membuat ujian saringan.

“Kita sambut baik pengumuman kerajaan itu kerana ia juga antara yang saya syorkan kepada kerajaan beberapa hari lalu supaya menurunkan harga kit ujian kendiri COVID-19 secepat mungkin.

“Seperti saya katakan tidak wajar tunggu sehingga penghujung tahun untuk turunkan harga memandangkan sektor sosial dan ekonomi telah pun dibuka, namun kes jangkitan masih tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Bagaimanapun beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berharap penurunan harga benar-benar menjadi mudah milik supaya tidak perlu disemak berulang kali yang akhirnya tetap membebankan rakyat.

“Perlu dipastikan juga penurunan harga kit ujian kendiri COVID-19 sama sekali tidak menjejaskan kualiti produk. Itu bukan sesuatu yang boleh dikompromi.

“Negara masih dalam ‘perang’ melawan virus berbahaya sama ada pada fasa pandemik mahupun endemik. Kit ujian kendiri COVID-19 antara ‘senjata’ menghadapinya.

“Bekalannya juga perlu dipastikan sentiasa mencukupi dan mudah diperoleh di pasaran pada setiap masa memandangkan satu kit ujian hanya boleh digunakan untuk satu individu,” ujar beliau. – UMNO Online