Teruskan Waspada Risiko COVID-19, Kesihatan Sangat Berharga – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan orang ramai agar terus berwaspada terhadap risiko COVID-19 kerana kesihatan adalah sesuatu yang sangat berharga.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian berikutan penyiaran berita bahawa pusat mandi Ulu Bendul ditutup susulan berlakunya kes COVID-19 dan kencing tikus.

“Berita seperti ini yang kurang enak didengari. Ini antara yang menjadi kebimbangan saya sebelum ini.

“Ini sebab saya nasihati rakan-rakan semua terus amalkan SOP walau telah boleh ke sana ke sini,” katanya dalam kenyataan menerusi lamn facebooknya, hari ini.

Ujarnya, beliau bukan sengaja mahu ‘kacau daun’ menikmati kegembiraan kelonggaran yang diberi kerajaan, namun dalam apa jua aktiviti dilakukan sentiasa fikirkan risiko jangkitan COVID-19 yang masih wujud.

“Kena faham beberapa aspek penting iaitu kelonggaran diberi pada waktu kes masih tinggi dan individu telah lengkap dua dos suntikan vaksin masih boleh dijangkiti dan menjangkiti.

“Maka dalam bergembira melakukan pelbagai aktiviti perlu ada pengurusan risiko kendiri dan kaedahnya dengan memahami bagaimana jangkitan COVID-19 boleh berlaku dalam sesuatu aktiviti

“Mungkin pihak berwajib boleh menyediakan maklumat atau garis panduan berhubung perkara itu,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.