Pemuda UMNO Terus Berharap I-Citra ‘One Off’ RM10,000 Terus Diberi Tumpuan Oleh Kerajaan

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap isu i-Citra RM10,000 one-off dapat dibawa oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul ke Mesyuarat Kabinet hari ini untuk dilaksanakan segera.

Menerusi Facebooknya beliu turut menyatakan ramai yang menghantar mesej kepadanya dalam keadaan tertekan dan terdesak sangat yang perlu dibantu serta dibela.

Sementara itu menerusi ruangan komen, Asyraf turut memberitahu ada juga sinis seolah-olah perjuangan i-Citra ini bagi membolehkan rakyat ambil kesempatan untuk pergi melancong.

Baginya tidak dinafikan mungkin ada yang berfikiran singkat sebegitu yang sanggup menggadai masa depan mereka.

“Tapi jangan diborong semuanya punya niat sebegitu. Ramai rakyat yang sudah dan tertekan hari ini akibat pandemik. Saya cuba rumuskan daripada ribuan mesej yang Pemuda UMNO terima termasuk ratusan yang saya sendiri terima daripada komen dan mesej peribadi yang meluahkan perasaan daripada pelbagai kaum:

“Sejak Januari ramai yang dibuang kerja, ditamatkan kontrak, dicutikan tanpa gaji, perniagaan lingkup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan dan lain-lain. Ramai yang punya komitmen bulanan yang tetap dan tinggi tak mampu nak bayar. Ramai yang berhutang dengan Ah Long untuk kelangsungan hari ini terjerat nak bayar bunga sahaja.

“Ramai yang paranoid memikirkan kelangsungan pendirikan anak-anak yang terabai kerana kekangan wang untuk sediakan gajet. Ramai yang sugul dan depression kerana fikirkan kelangsungan hidup. Ramai yang terdesak sehingga berkira-kira nak bunuh diri,” tegasnya.

Tambahnya banyak lagi yang boleh disenaraikan dan inilah juga yang dibentangkan kepada Menteri Kewangan beberapa bulan lalu dan yang terbaru kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar mereka memahami peri pentingnya Jaminan Perlindungan Rakyat atau Safety Net yang perlu diambil kira untuk solusi jangka pendek yang mendesak.

“Solusi jangka panjang termasuk pelan strategik untuk mengeluarkan rakyat daripada kemelut ekonomi pandemik, penciptaan peluang-peluang pekerjaan juga harus bergerak seiring tetapi keutamaan hari ini untuk rakyat survive sekarang,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.