COVID-19 Tidak Bersifat ‘One-off’, Tiap Hari Rakyat Terdedah Ancaman – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa sedih, marah dan kecewa selepas mengetahui seramai 67 kanak-kanak telah maut akibat COVID-19 sejak Januari lalu.

Sehubungan itu tegasnya, ancaman COVID-19 tidak bersifat ‘one-off’ sebaliknya setiap hari rakyat terdedah meskipun selepas negara telah mencapai imuniti kelompok.

“Kematian membabitkan kanak-kanak Malaysia meningkat dengan begitu ketara berbanding cuma enam kematian pada 2020.

“Kanak-kanak yang tidak berdosa, yang masih naif, yang baru belajar erti kehidupan menjadi korban pandemik yang tidak terkawal.

“Takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat. Sesungguhnya ia suatu kehilangan yang amat mendukacitakan,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Dalam hal ini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pengarah Kesihatan kerana berterus terang mengenai perkara itu kepada umum.

“Sekurang-kurangnya membuka mata semua pihak untuk lebih mengawasi golongan kanak-kanak daripada bahaya pandemik COVID-19, terutama dalam keadaan majoriti populasi dewasa di negara ini dilaporkan telah pun lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Bermaksud risiko golongan kanak-kanak untuk terdedah kepada jangkitan COVID-19 tanpa disedari adalah lebih tinggi.

“Ia kerana ahli keluarga atau penjaga kanak-kanak andai dijangkiti semasa keluar rumah untuk bekerja dan sebagainya berkemungkinan tidak bergejala.”

Sebab itu katanya, beliau percaya kerajaan perlu berusaha menurunkan lagi harga kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) di pasaran.

“Semurah yang boleh berbanding hampir RM20 ketika ini supaya setiap keluarga mampu memilikinya pada setiap waktu.

“Dengan itu boleh melakukan ujian COVID-19 secara berkala untuk seluruh ahli keluarga sebagai langkah pengawasan.”

Ujar beliau, sekurang-kurangnya individu dewasa dalam sesebuah rumah yang diketahui positif jangkitan COVID-19 dapat segera melakukan kuarantin kendiri.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana akan memberi 4 kit ujian COVID-19 kepada setiap keluarga B40 melalui Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC).

“Namun adalah lebih cemerlang jika insentif tertentu disediakan buat golongan B40 dan M40 membeli kit ujian tersebut pada harga yang rendah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.