Pertahankan Keputusan Mahkamah Tinggi Demi Kepentingan Kanak-kanak – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan tuntutan permohonan kewarganegaraan ibu-ibu warganegara Malaysia ke atas anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara dan berbapakan warga asing pada 9 September 2021 wajar dipertahankan, sekali gus sebarang prosedur rayuan harus ditarik balik serta-merta.

Kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, amalan penganugerahan warganegara secara automatik kepada bapa sedangkan ibu perlu memohon warganegara secara pendaftaran di dalam situasi yang sama, telah mengakibatkan ketidakadilan yang tidak berasas sama sekali.

“Malah amalan ini mengakibatkan kesulitan yang berpanjangan dan menjejaskan hak-hak kanak-kanak untuk mendapat akses yang sama dengan kanak-kanak warganegara Malaysia kepada pendidikan di sekolah-sekolah awam serta rawatan perubatan di hospital-hospital Kerajaan dan kemudahan-kemudahan asas yang lain.

“Keperitan emosi dan mental pihak-pihak ini hanya kerana anak-anak mereka dilahirkan di luar negara tidak wajar dibiarkan berterusan berlaku,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Jelasnya lagi, situasi ini jika tidak dihentikan akan berlanjutan sekian lama lagi dan akan menyebabkan kesan-kesan negatif dan kecelaruan terhadap kebajikan kanak-kanak, perkembangan mereka serta hubungan keluarga dengan adik-beradik yang lain dan prospek-prospek kehidupan seterusnya.

“Permasalahan yang melanda kanak-kanak hanya kerana mereka dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara yang mengahwini warga asing telah diselesaikan dengan pendekatan bijaksana oleh Mahkamah Tinggi dengan memberi takrifan kepada istilah ‘bapa’ untuk merangkumi ‘ibu’ jua,” ujarnya.

Justeru tambahnya, Pemuda UMNO menggesa pihak Peguam Negara menarik balik notis rayuan, manakala pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) harus segera menguatkuasakan keputusan ini dengan mengenepikan prosedur-prosedur di bawah Perkara 15(2) bagi menyelesaikan kesemua permohonan-permohonan yang tertunggak sepertimana saranan Mahkamah Tinggi menurut prosedur pemberian wargangara menurut kuatkuasa undang-undang dengan kadar segera.

“Kegagalan pihak JPN dalam mematuhi keputusan mahkamah bukan sahaja boleh dianggap engkar mahkamah tetapi akan turut menjejaskan hasrat murni Keluarga Malaysia yang dipelopori Perdana Menteri Malaysia dalam menjamin keutuhan institusi keluarga serta menjamin hak-hak kanak-kanak terlibat untuk mendapatkan kepentingan terbaik mereka ditegakkan,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.