MySetiawangsa Beri Petrol Percuma Kepada 500 ‘Riders’ Dan ‘Frontliners’

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Seramai 500 penunggang motosikal terdiri daripada penghantar makanan dan petugas barisan hadapan menerima sumbangan petrol percuma daripada Persatuan Komuniti Prihatin Setiawangsa (MySetiawangsa), tengah hari tadi.

Presidennya, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa berkata program ini sebagai penghargaan kepada golongan tersebut yang banyak membantu orang ramai ketika pandemik COVID-19.

“Tujuannya amat mudah sekali kita ingin memastikan kumpulan sasar kita ini dihargai.

”Kerana di masa kita duduk di rumah sepanjang bermulanya COVID-19 sehinggalah ke hari ini kalau kita hendak makan mereka yang hantarkan kepada kita.

“Kita tidur di rumah frontliners ini yang jaga sekatan jalan raya, jaga prosedur operasi standard (SOP). Jadi ini salah satu inisiatif untuk kita tunjukkan penghargaan kepada mereka,” katanya pada sidang media yang diadakan di Stesen Minyak Petron, Sri Rampai.

Program tersebut berlangsung dengan pematuhan SOP ketat oleh pihak penganjur.

Selain mendaftar, semua pihak diwajibkan untuk menjaga penjarakan fizikal bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, Mohd Irwan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa berkata program ini juga sebagai platform kesedaran kepada pekerja penghantaran makanan atau barangan berkenaan kepentingan caruman di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso).

“Amat mudah hanya daftar sahaja dengan Perkeso, kita tidak mahu kita punya riders ini dalam saat mereka melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mencari rezeki mereka tidak dilindungi.

“Kerana kerajaan pada hari ini menyediakan pelbagai faedah pada rakyat maka peluang ini perlu diambil untuk memastikan mereka juga mendapat manfaat yang diberikan,” ujar beliau. – UMNO Online 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.