Formula Baharu UMNO Demi Kelangsungan Parti Hadapi Landskap Politik Berbeza – Shahaniza
KUALA LUMPUR, 22 Sept – UMNO perlu mencari formula baharu dan bersedia untuk menerima perubahan demi kelangsungan parti dalam berhadapan dengan landskap politik yang berbeza, kata Ketua UMNO Bahagian Maran Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.
Jelas beliau, meskipun parti sudah menginjak ke-75 tahun penubuhannya namun ianya bukan suatu kekangan untuk melakukan penyusunan ke arah yang membawa manfaat kepada parti.
“Suka atau tidak kita mesti mencari kaedah baru untuk bersedia menerima satu perubahan. Kita tidak boleh kata kita sudah 75, kita tidak boleh jadi parti yang hanya meniti usia.
“Jangan jadi seperti mana dalam sejarah parti-parti tua yang lain akhirnya terkubur begitu sahaja. Kalau kita tidak mahu UMNO jadi begitu kita kena bersedia terima perubahan, menyerap, melakukannya dan pemimpin-pemimpin melakukan pengorbanan,” katanya pada program This Is Pahang secara langsung menerusi Facebook UMNO Online, semalam.
Menurut beliau kelayakan mengundi yang kelak diturunkan ke usia 18 tahun juga sebagai cabaran baharu yang perlu dihadapi bagi merelevankan parti.
“Sejauh mana UMNO bersedia menyerap perubahan ini kerana majoritinya ketika ini memikirkan untuk mendekati mereka.
“Memang ianya merupakan cabaran yang sangat besar namun pada saya ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab pucuk pimpinan tetapi ianya juga peranan semua peringkat.
“Hendak memberikan kesedaran di peringkat cawangan ini bukan mudah, benda ni memang satu cabaran yang sukar tetapi kalau kita tidak mampu untuk melakukannya maka kita akan menyaksikan UMNO sampai ke penghujungnya,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul berkata penerimaan ahli UMNO dalam menerima enam orang wanita sebagai ketua bahagian merupakan satu fenomena baharu.
Menurut beliau jika dilihat kembali sejarah politik di Maran ianya dilihat mustahil untuk wanita menjadi ketua bahagian.
“Di Pahang sendiri saya mencipta sejarah sebagai wanita pertama menjadi ketua bahagian. Wanita yang mengetuai bahagian juga berlaku di Pendang, Sungai Petani serta Pengerang dan yang memangku di Sabah.
“Jadi maknanya ada penerimaan dan perubahan maknanya orang UMNO di akar umbi sedia menerima perubahan dan ianya boleh dilakukan.
“Jadi walaupun kita kata sukar tadi, sesusah mana pun insya-Allah ada jalannya. Sebab orang UMNO ini macam mana pun di akar umbi mereka sangat setia pada parti dan mereka akan membuat pilihan akhirnya demi kelangsungan parti,” ujar beliau. – UMNO Online