KWSP Beri Komitmen Mudahkan Pengeluaran i-Citra – Asyraf

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberikan komitmen untuk memudahkan urusan pengeluaran i-Citra bagi membantu mengurangkan bebanan pencarum ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Jelas Asyraf, Ketua Pengarah Eksekutif Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyatakan beliau akan membawa isu ini untuk dipertimbangkan kelulusan daripada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Saya telah mengadakan perbicangan hampir 2 jam bermula pukul 11 pagi bagi membawa isu #TuntutanRakyat khususnya permintaan rakyat untuk mengeluarkan caruman i-Citra secara pukal (one-off) minima RM10,000 dalam tempoh pandemik ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pertemuan tersebut, beberapa perkara telah dibincangkan antaranya adalah seperti berikut:

1. Hasrat rakyat terutamanya di kalangan M40 bahkan sebahagian besar T20 yang sudah jatuh ke peringkat B40 yang benar-benar berharap untuk dapat mengeluarkan caruman mereka pada kadar minimum RM10,000 secara pukal (lump sum) bagi memenuhi desakan hidup untuk melangsaikan pelbagai komitmen, hutang, bahkan memulakan kehidupan baharu akibat hilang punca pendapatan, dipotong gaji, dicutikan tanpa gaji akibat pandemik

2. Pihak KWSP juga menjelaskan pelbagai kekangan mereka termasuk bagi mengimbangi keperluan untuk memastikan jaminan simpanan hari tua pekerja tidak terjejas.

3. Mekanisme caruman dan takaful bagi melindungi pekerja-pekerja industri tidak formal atau gig ekonomi khususnya penghantar p-hailing dan pemandu e-hailling yang setakat ini tiada pembelaan dari segi kebajikan dan perlindungan.

“Insya-Allah, pihak KWSP juga bersetuju untuk mengadakan kerjasama dengan Pemuda UMNO terutamanya Task Force Khas yang baru ditubuhkan kelmarin bersama dengan pihak Kesatuan Sekerja Malaysiam (MTUC) dan Kesatuan-Kesatuan yang mewakili pekerja muda p-hailing dan e-hailing.

“Doakan agar #TuntutanRakyat mengenai i-Citra ini dapat segera dipertimbangkan untuk diluluskan oleh pihak Menteri Kewangan dan KWSP,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.