Pertandingan Pidato Online PUMAS Bukti UMNO Platform Utama Untuk Dipertahankan – Mustapha

SEREMBAN, 20 Sept – Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor berkata pertandingan pidato secara online yang diadakan baru-baru ini adalah untuk mencungkil bakat peserta-peserta di seluruh Negeri Sembilan dalam usaha untuk memantapkan pemidato UMNO.

Katanya, kalah atau menang dalam sesuatu pertandingan bukan perkara utama tetapi yang paling penting adalah memilih UMNO sebagai pentas untuk terus dipertahankan.

“Sebenarnya soal menang atau kalah dalam pertandingan pidato online ini bukanlah ukuran kerana yang menang pertandingan pidato ini adalah tersurat dan yang tersirat adalah mereka telah memilih pentas UMNO untuk anda berdiri, berpidato dan dipertahankan dalam perjuangan.

“Saya ingin merakamkan berbanyak terima kasih kepada kesemua peserta pidato yang mengambil bahagian dan juga memilih UMNO sebagai pentas utama.

“Kita yakin dan percaya dengan adanya pemidato-pemidato yang hebat bukan saja di Negeri Sembilan malah di seluruh negara akan dapat mempertingkatkan serta mengukuhkan perjuangan UMNO,” katanya pada majlis penyampaian hadiah pertandingan Pidato Online anjuran PUMAS peringkat Negeri Sembilan baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong mengharapkan agar para pemidato sentiasa aktif dan memberikan fakta-fakta jelas kepada seluruh rakyat di Negeri Sembilan.

“UMNO Negeri Sembilan akan menyediakan ruang bagi peserta dan kesemua pemidato ini diharapkan aktif serta dapat memberikan penerangan dengan mengaplikasi alam maya.

“Kita tingkatkan ‘noise’ UMNO pada masyarakat supaya rakyat melihat bahawa UMNO adalah sebuah parti yang akan terus bersedia berkhidmat.

“Inilah ruang yang boleh digunakan sebagai platform untuk terus berpidato dan menyakinkan rakyat agar mereka kembali menyokong serta memenangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang,” ujarnya lagi.

Pertandingan Pidato Online diadakan secara berperingkat dengan fasa peringkat negeri bermula 8 Ogos sehingga 31 Ogos 2021. Ia terbuka kepada ahli UMNO berusia 18 tahun ke atas, dengan dua wakil setiap bahagian UMNO dan diuruskan oleh Penerangan UMNO Negeri masing-masing. Tiga pemenang peringkat negeri akan bertanding di peringkat pusat dalam pertandingan Pidato Piala Presiden yang dijadualkan diadakan di PWTC pada Oktober ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.