Pemuda UMNO Bawa Luahan ‘Rider’, Lima Tuntutan Dikemuka

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah menganjurkan Persidangan Meja Bulat Tuntutan Hak Penghantar Malaysia dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Persatuan Penghantar dan wakil-wakil Kesatuan P-Hailing dan E-Hailing bagi membincangkan permasalahan serta isu-isu berbangkit melibatkan penggiat ekonomi gig di dalam negara.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pelbagai luahan dan isu-isu untuk diperhalusi telah dibincangkan pada sesi libat urus tersebut.

“Pemuda UMNO Malaysia telah mendengar sendiri keluhan daripada wakil-wakil rider yang hadir memberikan pandangan,” katanya pada sidang media yang diadakan di Menara Dato’ Onn sebentar tadi.

Hasil dalam perbincangan ini, lima Resolusi Persidangan Meja Bulat Tuntutan Hak Penghantar Malaysia dikemukakan dan dimaktubkan seperti berikut:

a) Mencadangkan status individu terbabit dalam industri e-hailing dan p-hailing diiktiraf sebagai pekerja dan dilindungi oleh Akta Kerja 1955 dan akta-akta berkaitan.

b) Mewujudkan sebuah badan kawal selia yang mengkaji keperluan peraturan (regulations) yang lebih adil dan realistik untuk penyedia perkhidmatan dan penghantar.

c) Memastikan kaedah terbaik untuk penyedia perkhidmatan menyediakan perlindungan sosial (KWSP & PERKESO) buat penghantar-penghantar di Malaysia.

d) Mencadangkan kerajaan memberikan dan menyediakan bantuan khas kepada penghantar-penghantar di dalam Bajet 2022 nanti.

e) Mendesak penyedia perkhidmatan untuk menjamin pekerjaan penghantar-penghantar dengan menangguhkan penggantungan dan penamatan khidmat penghantar-penghantar dalam tempoh pandemik ini.

“Perubahan lanskap dalam struktur ekonomi membolehkan penggiat gig ekonomi ini menjadi lebih penting dan pastinya hak-hak mereka juga perlu dipertahankan.

“Pemuda UMNO, melalui agenda #PemudaJurubicaraRakyat akan memastikan suara-suara dihebah luas dan didengari di peringkat kerajaan,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.