Beri Pertimbangan Khas Calon STPM Kembali Ke Sekolah Di Negeri Fasa 1 – Pemuda UMNO Kedah

ALOR SETAR, 20 Sept – Pemuda UMNO Negeri Kedah menerima keluhan ibu bapa yang mempunyai anak bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) hujung bulan hadapan, yang mengharapkan pembukaan kelas bersemuka bagi negeri ini sama seperti sekolah di negeri lain.

Kata Ketua Penerangannya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, pihaknya juga mendapat maklum balas para guru juga menyuarakan pendapat agar murid mereka diberi kebenaran kembali ke sekolah bagi persiapan latih tubi STPM.

“Oleh kerana Kedah masih berada di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), sekolah di negeri ini tidak akan dibuka pada 3 Oktober depan seperti negeri yang berada di Fasa 2, 3 dan 4. Kementerian Pendidikan baru-baru ini mengumumkan pembukaan sekolah bermula 3 Oktober, namun sekolah di negeri Fasa 1 PPN tidak akan dibuka sementara negeri Fasa 2 hanya dibuka bagi yang menduduki peperiksaan.

“Peperiksaan STPM Semester 2 akan bermula 25 Oktober ini selama empat hari berturut-turut. Menurut maklumat yang kami perolehi, di Kedah kira-kira 4,000 pelajar dari 56 sekolah akan menduduki STPM di 58 pusat peperiksaan.

“Ibu bapa bimbang sekiranya Kedah masih di Fasa 1 pada 3 Oktober nanti, anak mereka yang bakal menduduki peperiksaan penting STPM itu tidak dapat mengalami pembelajaran secara bersemuka dan mungkin tidak bersedia sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tanbah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar itu lagi, ibu bapa merasa amat penting pembelajaran secara bersemuka itu dapat dilaksanakan.

“Minggu-minggu terakhir ini amat genting kerana inilah peluang mereka memahami dengan lebih jitu topik pembelajaran, mendapat suntikan semangat dan dorongan daripada para guru dan rakan sekelas.

“Setelah melalui pembelajaran dalam talian sejak beberapa bulan lepas, pelajar mengharapkan sangat dapat kembali ke sekolah apabila pembelajaran bersemuka. Tidak adil mereka terus belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah sedangkan rakan di negeri lain di Fasa 2, 3 dan 4 dapat bersemuka dengan guru, apatah lagi ini adalah peperiksaan yang amat penting,” katanya.

Sehubungan itu ulasnya lagi, Pemuda UMNO Kedah yang memahami resah gelisah ibu bapa memohon Kementerian Pendidikan memberi pertimbangan khas agar pelajar yang menduduki peperiksaan STPM di negeri Fasa 1 dibenarkan menjalani pembelajaran secara bersemuka.

“Kementerian boleh memikirkan prosedur operasi standard (SOP) yang khusus bagi calon-calon STPM berkenaan. Oleh kerana banyak kelas masih belum dibuka tidak timbul soal kekurangan kelas apabila semua pelajar tingkatan enam kembali ke sekolah, malahan cikgu dapat memberi tumpuan yang lebih baik apabila hanya memberi perhatian khusus mempersiapkan pelajar menghadapi STPM.

“Empatilah kepada anak-anak ini yang mahu cemerlang dalam peperiksaan STPM nanti dan mengharapkan pembelajaran bersemuka bagi melengkapi ilmu menghadapi peperiksaan,” gesanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.