UMNO Sabah Kehilangan Seorang Pemimpin Berjiwa Kental – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 19 Sept – UMNO Sabah menyifatkan pemergian Penolong Ketua Penerangan UMNO Sabah Allahyarham Datuk Haji Nalwan Kabang sebagai satu kehilangan besar kepada rakyat khususnya UMNO negeri itu.

Ketuanya Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata Allahyarham Nilwan merupakan seorang yang berjiwa kental, tidak mudah menyerah kalah dan sentiasa tenang dalam menghadapi cabaran.

“Allahyarham (Nilwan) seorang sahabat yang rapat dengan saya, kami berkecimpung dan berjuang dalam kerjaya politik sejak era pemerintahan USNO sehingga UMNO melebarkan ke Sabah kami berjuang dalam bersama. Sebab itu saya sifatkan Allahyarham seorang pemimpin berjiwa kental dan sentiasa kepada perjuangan,” kata Timbalan Ketua Menteri itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Allahyarham Nilwan, 71, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak dan veteran politik Sabah meninggal dunia di Hospital Gleneagles di sini, awal pagi ini, akibat jangkitan COVID-19.

Setelah sebulan bertarung nyawa melawan virus tersebut, beliau akhirnya pergi menghadap Ilahi pada jam 3.45 pagi.

Nilwan, sebelum ini mendapat rawatan di hospital tersebut pada awal bulan ini.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut berkongsi kesedihan atas pemergian Allahyarham.

“Bagi pihak keluarga Besar UMNO Sabah saya merakamkan ucapan takziah kepada isteri arwah Datin Amnani Abdullah serta seluruh ahli keluarga moga mereka tabah menghadapi saat sukar ini dan kami mendoakan moga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman,” jelas Bung dalam nada yang sebak. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.