Rakyat Berharap Pemuda UMNO Terus Perjuangkan i-Citra

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata rakyat tanpa putus berharap agar pihaknya terus memperjuangkan isu i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ujarnya, beliau dan Pemuda UMNO tidak akan senyap bahkan akan terus bersuara bagi pihak rakyat kepada pihak yang berkaitan.

“Tak putus-putus menerima mesej minta saya dan Pemuda UMNO terus perjuangkan isu KWSP i-Citra. Insya-Allah, kami tidak pernah senyap bahkan terus melobi bagi pihak rakyat.

“Minggu depanpun sudah terima slot bertemu CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) KWSP untuk berunding mengenainya. Doakan natijah terbaik kerana ramai yang hakikatnya terdesak dan tertekan untuk kelangsungan hidup,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Pada hujung Jun lepas, kerajaan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) berkata ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan di bawah program baharu iaitu i-Citra untuk membantu rakyat mendepani cabaran semasa pandemik COVID-19.

Sebelum ini, Pemuda UMNO konsisten memperjuangkan sepuluh tuntutan bagi membantu rakyat yang kini sangat terkesan akibat COVID-19 dan ada di antaranya telah dipenuhi oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sepuluh tuntutan tersebut adalah seperti berikut:

1. Segerakan Bantuan Khas COVID (BKC).
2. Luluskan kedua-dua kategori penerima BPR / BKC dan penerima Geran Khas Prihatin.
3. Pemudahkan proses rayuan tanpa perku banyak dokumen pembuktian pengurangan pendapatan.
4. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) wajar ambil kira data terkini. Ramai di kalangan rakyat terutamanya M40 yang jatuh ke kategori B40 sejak awal tahun ini.
5. Kerajaan wajar menambah suntikan fiscal dengan meningkatkan jumlah BKC terutamanya untuk M40.
6. Tambah baik i-Citra dengan dibenarkan pengeluaran secara ‘lump sum’ berbanding berkala setiap bulan.
7. Benarkan akses kepada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan permudahkan pengeluaran i-Citra.
8. Benarkan akses kepda golongan T20 dan M40 untuk mengeluarkan caruman pada kadar lebih tinggi bagi tujuan komitmen seperti hutang.
9. Selaraskan kaedah penawaran moratorium yang dibuat oleh bank-bank dengan tidak mengenakan faedah terakru. Perluaskan kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dan agensi lain bawah seliaan kerajaan.
10. Bantuan khas kecemasan untuk peniaga-peniaga kecil yang ramai mula terpaksa gulung tikar. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.