Pidato Online Sekolah UMNO, Bakal Lahir Pemimpin Berkaliber – Mohamad Hasan

SEREMBAN, 19 Sept – Pertandingan Pidato Online merupakan satu inisiatif yang amat baik untuk menghidupkan semula sebahagian daripada sekolah UMNO, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Jelas beliau, ini kerana bakat baharu diperlukan oleh parti untuk membahaskan isu-isu terkini kerana situasi politik tanah air sudah menjadi suatu yang amat rencam.

“Program pidato ini merupakan sebahagian daripada langkah untuk membangunkan bakat-bakat di dalam parti kita supaya mereka yang mempunyai kaliber yang baik dalam berpidato itu dapat kita kenal pasti di akar umbi.

“Kemudian mereka ini dibawa serta diketengahkan dan akhirnya mereka ini jika bersabar dan dapat bersama-sama akhirnya mereka akan menjadi seorang pemimpin yang baik di dalam peringkat apa jua sama ada di dalam parti atau yang lain-lain.

“Kerana politik bukan macam dahulu yang stereotype sahaja, tetapi merupakan suatu keadaan dinamik yang baharu, politik dinamik yang berubah kerana persaingan yang begitu hebat sekali sehinggakan kadang-kadang setiap hari pun boleh berubah, hari ini pandangan lain, esok pagi dah lain kerana keadaan memerlukan kita berubah pandangan dan pendirian kita,” kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Pidato Online PUMAS 2021 Peringkat Negeri Sembilan yang berlangsung baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau menegaskan bahawa disebabkan ini UMNO tidak boleh duduk selesa dalam tempoh yang begitu lama dan perlu untuk berubah.

Menurut beliau, perubahan ini perlu dilakukan mengikut keadaan politik semasa untuk menentukan parti ini kekal relevan.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini bahawa kita memerlukan suatu keanjalan yang sangat tinggi kerana kita tidak boleh duduk dalam satu situasi yang sama tanpa memikirkan keadaan perubahan di luar yang begitu rencam dan begitu cepat berubah.

“Kita terpaksa berubah kerana keadaan berubah di luar dengan begitu cepat kalau tidak kita akan ketinggalan dan orang akan lupa tentang kita.

“Jadi adakah kita bersedia untuk menjadi bahan sejarah atau pun kita mahu terus menjadi sebahagian ejen perubahan dalam politik tanah air, jadi kita mesti tahu apa yang kita hendak buat,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu. – UMNO Online