Makkal Sakti Diberi Tempat Untuk Bertanding Dalam PRU15 – Pengerusi BN

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan memberikan tempat sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada calon-calon daripada Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden UMNO itu berkata Makkal Sakti akan diberikan peluang untuk bertanding setelah diminta oleh parti itu dan atas kesetiaan selama 13 tahun menyokong BN.

“Jadikan Makkal Sakti sebagai aset. Saya merasakan apabila diminta, Presiden Makkal Sakti, R S Thanenthiran tadi, untuk calon-calon daripada Makkal Sakti bertanding dalam PRU15 dan telah berbincang dengan rakan-rakan dalam BN, kita akan memberi tempat pada PRU15 dalam Parlimen atau DUN nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Makkal Sakti secara dalam talian pada Ahad.

Makkal Sakti, parti yang mewakili kaum India dan diasaskan oleh bekas pemimpin Pasukan Tindakan Hak Hindu (Hindraf) bukan sebahagian daripada BN walaupun telah bertahun-tahun menyokong gabungan itu.

Sebelum Ahmad Zahid menyampaikan ucapan, Thanenthiran telah meminta pengerusi BN itu memberikan peluang kepada calon-calon daripada parti Makkal Sakti bertanding pada PRU15.

Dalam pada itu, Zahid menegaskan BN mahu menjadi kerajaan semula dan merampas semua kerusi dalam PRU15.
Beliau berkata disebabkan itu, BN perlu menguatkan semula kedudukan gabungan parti itu.

“Di mata rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini mereka harapkan BN ambil alih kerajaan akan datang,” katanya.

Sementara itu, pada sidang medianya Thanenthiran berkata, pengumunan yang dibuat oleh Ahmad Zahid untuk memberi peluang kepada calon Makkal Sakti bertanding pada PRU15 amat dinanti-nantikan.

Ujarnya, pengumuman itu memberi motivasi kepada Makkal Sakti yang sudah 13 tahun menunggu untuk diberi peluang bertanding bawah bendera parti yang telah lama berbakti kepada negara.

“Walaupun tidak pernah diberi peluang bertanding, semangat menyokong BN tidak pernah luntur sama sekali,” ujarnya.

Thanenthiran bagaimanapun berkata, terpulang kepada kepimpinan BN untuk memberi kerusi kawasan mana kepada calon-calon Makkal Sakti bertanding.
Katanya, secara peribadi, Makkal Sakti telah meminta untuk bertanding di 4 kawasan Parlimen dan 7 kawasan DUN.

“Kawasan disasarkan empat negeri iaitu di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah.

“Saya percaya parti-parti komponen khusus UMNO, MCA, MIC dan daripada Sabah akan sokong kami.

“Kami juga ada minta Makkal Sakti menjadi komponen BN, kami sekarang hanya ahli gabungan.” katanya. – BNNEWSONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.