Perubahan Digital Dijiwai, PUMAS Laksana Transformasi Perubahan Dalam Parti – Shahril Hamdan

SEREMBAN, 18 Sept – Perubahan digital dalam arus semasa perlu dijiwai oleh ahli-ahli UMNO lantas kerana itulah Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS) buat julung kali melaksanakan pertandingan pidato secara online, kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Jelasnya, sebelum ini terdapat Ketua-ketua Penerangan terdahulu telah mengadakan kursus-kursus, ceramah-ceramah dan sebagainya tetapi ini adalah pertama kali PUMAS mengadakan program secara ‘digital’ berikutan tuntutan semasa.

“Apabila membuat pidato online kita mahu menzahirkan bahawa lanskap politik sekarang kian berubah. Apa yang pernah dibuat secara fizikal kita teruskan namun kini harus dibuat secara digital.

“Hanya saluran berubah tapi lanskap politik secara keseluruhan masih perlu dijiwai maka transformasi perubahan inilah yang sedang kita laksana,” katanya pada majlis penyampaian hadiah pertandingan Pidato Online anjuran PUMAS peringkat Negeri Sembilan, semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim; Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Mustafa Nagoor; Ketua Wanita UMNO Negeri, Latteffah Aliyaru Kunju; Ketua Pemuda UMNO Negeri, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dan Ketua Puteri UMNO Negeri, June Artisha Mohamad Nazari.

Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO menjelaskan bahawa pertandingan pidato secara maya diadakan pada ketika negara sedang bergelut dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga kemelut politik.

“Kita anjurkan pertandingan pidato secara maya ini di semua negeri pada saat berlakunya PKP, jadi ‘mood’ pertandingan ini agak mendatar dan tidak banyak dapat dilaksanakan seperti biasa.

“Kalau dilihat bahagian-bahagian UMNO seluruh Malaysia kebanyakkannya tertumpu kepada bantuan-bantuan makanan dan paling mustahak program-program UMNO agak terhad.

“Peserta-peserta pidato seluruh negara termasuklah Negeri Sembilan menzahirkan walaupun terdapat sebarang kekangan yang berlaku namun semangat untuk melaksanakan perjuangan UMNO tidak pernah luntur,” jelas beliau.

Tambah Shahril lagi, dalam konteks pertanding pidato online ini, ia juga dilaksanakan ke arah persiapan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.

“Kita adakan juga pertandingan pidato ini secara ‘online’ di seluruh Malaysia walaupun sedia maklum terdapat kemelut politik yang sedang berlaku tetapi ia tidak menghentikan dan mengekang kita membuat kerja hakiki ataupun kerja ruji iaitu mempersiapkan diri ke arah PRU.

“PRU 15 adalah perkara yang nyata akan berlaku sama ada ianya cepat atau lambat ia tetap akan datang dan dalam konteks itulah PUMAS mengadakan pidato online ini,” katanya.

Ujarnya, pada pertandingan pidato akhir nanti pemidato seramai 39 peserta keseluruhannya akan ke Kuala Lumpur untuk diadakan pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO dan di situ bukan lagi diadakan secara maya.

“Keputusan telah dibuat dan untuk memeriahkan dan meraikan bakat-bakat yang telah dicungkil dan dibawa kembali kepada ‘format tradisional’ iaitu pidato secara bersemuka.

“Ianya akan menjadi lebih meriah apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Naib-naib Presiden akan hadir dan menonton pemidato-pemidato pada pertandingan pidato Piala Presiden yang akan diadakan di PWTC pada 15 hingga 17 Oktober ini dan ianya tertakluk kepada kelonggaran rentas negeri,” ujarnya lagi.

Justeru kata beliau lagi, topik-topik yang akan diserahkan kepada kesemua peserta-peserta adalah yang khusus dan bukannya topik-topik pada pertandingan lalu.

“Pada pertandingan lalu peserta boleh berpidato dengan isu-isu yang terbuka dan kali ini ianya lebih khusus ke arah isu-isu yang boleh memenangi hati pengundi dan ianya akan dibenarkan peserta-peserta memilih tajuk-tajuk yang terbaik untuk mereka hujahkan dan Insya Allah akan dapat menyaksikan kualiti pidato yang baik daripada semua negeri,” tegasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.