Ahmad Zahid Simpati Nasib Pekerja Kontrak Pembersihan Hospital…Mereka Juga ‘Frontliner’

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa simpati terhadap kumpulan pekerja kontrak pembersihan hospital di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Ipoh, Perak yang dilaporkan mengadakan piket.

Katanya perasaan itu lahir apabila membaca laporan media yang antara lain tuntutan mereka adalah kenaikan gaji secara saksama sebanyak RM30.

“Majoriti anggota masyarakat berpandangan kenaikan RM30 tidak sepatutnya menjadi bebanan yang keterlaluan untuk pihak konsensi. Sebenarnya isu kebajikan pekerja kontrak pembersihan hospital kerajaan pernah dibangkitkan pada Ogos 2018.

“Kerajaan ketika itu namun menegaskan pekerja berkenaan bukan kakitangan kerajaan. Maka kerajaan kata pekerja terbabit bukan dibawah tanggungjawab kerajaan. Sebaliknya dibawah tanggungjawab pihak pemegang konsesi kontrak perkhidmatan pembersihan.

“Bagaimanapun situasi yang berlaku di Hospital Bahagia Ulu Kinta sudah berbeza. Berdasarkan laporan media kontrak pembersihan hospital kerajaan di negeri itu diambil alih oleh sebuah anak syarikat GLC bermula 1 Januari tahun lalu,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Maka katanya lagi sebarang alasan pekerja kontrak pembersihan hospital bukan urusan kerajaan mungkin tidak lagi sesuai.

“Malah walaupun bukan kakitangan kerajaan, tetap menjadi kewajipan kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyatnya.

“Saya percaya kerajaan baharu Keluarga Malaysia tidak akan mengabaikan nasib mereka dan membantu untuk mendapatkan situasi menang-menang.

“Jangan sesekali terlupa para pekerja kontrak pembersihan hospital kerajaan mahupun swasta juga “frontliners” negara,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.