Malaysia Wajar Ada Dasar Dan Strategi Khusus Hadapi Cabaran ‘Long COVID’ – Mohamad

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Malaysia wajar mempunyai dasar dan strategi khusus mengenalpasti serta menyelidiki dan memulih kesan jangka panjang COVID-19 terhadap pengidapnya.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata lebih 2 juta rakyat negara ini terjangkit dan angka ini mungkin lebih tinggi  termasuklah peratusan yang mempunyai Long COVID-19  juga mungkin akan semakin ramai.

Menurut beliau pemulihan kesihatan mereka ini adalah sangat penting kepada kualiti kesihatan awam secara meyeluruh dan justeru kerajaan disaran agar mula memberi perhatian kepada kes Long COVID-19 ini secara terpadu.

“Dasar kita menanggani pandemik ini tidak boleh terhenti dari segi pencegahan dan rawatan. Ia mesti juga merangkumi rawatan jangka masa panjang terhadap bekas pesakit serta pelbagai penyelidikan berkaitan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tambah Mohamad Hasan Long COVID adalah keadaan di mana bekas pesakit terus mengalami pelbagai masalah kesihatan setelah pulih dan kebanyakannya berterusan selama 4 ke 12 minggu, namun ada yang berlarutan sehingga 9 bulan.

Tambahnya lagi kerajaan belum mengemukakan data terperinci berkaitan masalah ini. Namun beberapa Universiti tempatan telah mula menjalankan kajian tentangnya.

“Lancet, jurnal perubatan paling berwibawa dalam terbitannya pada 28 August 2021 menyatakan bahawa Long Covid adalah cabaran yang besar terhadap sektor perubatan.

Banyak yang masih tidak diketahui tentangnya. Justeru pelbagai penyelidikan rentas disiplin sangat perlu untuk membolehkan rawatan terbaik diberikan,” ujarnya.

Ujar Mohamad lagi, kefahaman tentang dampak vaksinasi, kaedah rawatan dan pemulihan yang berkesan serta pelaburan untuk penyelidikan berkaitanya harus diberikan keutamaan dan dunia perubatan akan terus terbeban dengan pelbagai cabaran baru kerana pandemik ini.

“Justeru pelaburan kesihatan kita tidak boleh lagi pada kadar 4 peratus GDP. Telah tiba masanya kita mensasarkan peruntukan 7 ke 8 peratus GDP negara untuk sektor kesihatan.

“Langkah ini adalah permulaan yang baik untuk reformasi besar-besaran sektor perubatan dan kesihatan setelah tekanan luar biasa terhadap sistem perubatan kita semenjak Feb 2020,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.