COVID-19: Waspadalah Rakyat Malaysia, Kita Belum Bebas… Patuhi SOP – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 kerana negara belum bebas lagi dari pandemik terbabit.

Katanya, walaupun sekarang ini kerajaan telah melonggarkan pergerakan yang bermakna sudah tidak terkurung lagi di dalam rumah tetapi ia bukanlah bermakna merdeka sepenuhnya.

“Ya, memang kita ingin bercuti. Ke Langkawi misalnya, tapi jangan kita lupa diri dan keluarga.

“Ya, memang bank mampu kecualikan faedah moratorium. Terima kasih, namun kita tetap kena bayar hutang pokok.

“Dalam keadaan belum menang keseluruhan, COVID-19 ada di sekitar, mesti terus jaga SOP. Moga kita terus memerangi COVID-19 hingga menang dalam erti kata yang sebenarnya,” katanya dalam ciapan menerusi Twitternya berkaitan hal terbabit.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian mengajak perbandingan Malaysia dibuat dengan negara-negara lain.

“Kadar kematian kita tinggi. Endemik di Indonesia 3,779 kes 188 mati. NewZealand 33 kes ‘lockdown’, di Auckland 1 sahaja mati dalam tempoh enam bulan.

“Maka waspadalah rakyat Malaysia. Kita belum bebas lagi. Terus ikut SOP dengan disiplinkan diri agar kita terjaga.”
Dalam masa yang sama beliau turut menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang sentiasa mengingatkan rakyat melalui mesej-mesej harian.

Dilaporkan, jumlah harian jangkitan baharu COVID-19 hari ini ialah 17,577 kes dan daripada jumlah kes baharu itu, tiga adalah kes import melibatkan warganegara manakala 17,574 kes penularan dalam negara membabitkan 15,438 warganegara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.