Semangat Yang Kuat, Utuh Sebagai Keluarga Malaysia – Suraya Yaacob

KUALA LUMPUR, 16 Sept – “Saya yakin dengan semangat yang kuat dan kerjasama yang utuh sesama kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia, kita pastinya akan maju ke hadapan dengan langkah yang sederap, jitu dan padu bersama-sama.”

Demikian tegasnya Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob sempena ulang tahun ke 58 kelahiran Negara Malaysia yang tercinta.

“Banyak yang kita harungi bersama dan sudah jauh kita melangkah.

“Malaysia hari ini adalah kesinambungan perjuangan generasi sebelum kita. Apa yang kita lakukan pada usia ini adalah apa yang akan wariskan kepada generasi yang akan datang selepas kita,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang menjelaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang cukup unik dan istimewa serta tiada tolok bandingnya.

“Negara Malaysia ini mempunyai pelbagai agama, kaum, budaya, serta kekayaan dan keindahan sumber alam serta keistimewaannya harus dipertahankan untuk diwariskan kepada generasi seterusnya.

“Maka, adalah menjadi tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk bekerja keras bersama-sama, berganding bahu dan terus berjuang sedaya mungkin bagi memastikan masa depan Malaysia akan lebih baik untuk anak-anak kita berbanding hari ini.

“Selamat Hari Malaysia 2021,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.