PPRN Kembalikan Semula Jiwa Patriotisme Dalam Kalangan Masyarakat – KM Melaka

MELAKA, 16 Sept – Pertandingan Pidato Rukun Negara (PPRN) Peringkat Kebangsaan, Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka mengembalikan semula jiwa patriotisme yang kini dilihat semakin menipis dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata justeru beliau menyambut baik cetusan idea Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam untuk mengadakan pertandingan berkenaan.

Beliau berkata pada tahun lepas pertandingan berkenaan yang diadakan di peringkat negeri berjaya menarik 203 penyertaan membabitkan empat kategori iaitu Awam, Institut Pengajian Tinggi, Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah.

“Berikutan kecemerlangan itu, pada tahun ini pula, saya dimaklumkan, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia sendiri mencadangkan supaya pertandingan Pidato ini, dianjurkan pada peringkat kebangsaan yang penyertaannya terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Dengan sokongan padu Kementerian Perpaduan Negara yang sudi bekerjasama dalam penganjuran pertandingan pidato ini dan penambahan satu lagi kategori baharu iaitu Bukan Melayu, saya diberitahu oleh pihak urus setia, ia telah berjaya menarik 970 pemidato yang berbakat dari seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan aluan sempena peringkat akhir PPRN yang diadakan secara maya di sini hari ini.

Hadir sama Tun Mohd Ali dan Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Pengerusi Bersama PPRN Datuk Ismail Othman.

Hari ini adalah kemuncak Pertandingan Pidato Rukun Negara (PPRN) Peringkat Kebangsaan, Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka bertemakan Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan Demi Kejayaan dan Kestabilan Rakyat.

Pada pertandingan peringkat akhir ini, sebanyak 25 peserta daripada lima kategori iaitu Awam, Bukan Melayu, Institut Pengajian Tinggi, Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah akan mempersembahkan kehebatan masing-masing bagi merebut hadiah wang tunai berjumlah RM300 hingga RM5,000.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.