Pahang Juga Bersedia Laksana Gelembung Pelancongan – Sharkar
KUALA LUMPUR, 16 Sept – Umum sedia maklum kerajaan telah pun melaksanakan projek rintis gelembung pelancongan domestik di Pulau Langkawi, Kedah bermula 16 September 2021 dan seperti dimaklumkan, ia merupakan projek rintis gelembung pelancongan yang dilaksanakan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan.
Cuma persoalannya di sini, kata Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin kenapa ia hanya bermula di Pulau Langkawi dan banyak lokasi pelancongan lain khususnya di Negeri Pahang telah pun bersedia untuk kembali menerima kehadiran pelancong.
Tambahnya apabila kerajaan memutuskan melaksanaan program gelembung pelancongan domestik, ia sebenarnya memberi kelegaan dan sinar baharu penggiat industri pelancongan yang telah lama terjejas susulan penutupan keseluruhan rantaian sektor pelancongan akibat penularan pandemik COVID-19 sejak tahun lalu.
“Namun, setelah segala perancangan dibuat termasuk mencapai imuniti kelompok, hanya Pulau Langkawi dibenarkan terlebih dahulu dan ia pasti sedikit mengecewakan penggiat sektor berkenaan.
“Di negeri Pahang, lokasi seperti Bukit Fraser, dekat Raub dan Pulau Tioman di Rompin telah lama bersedia untuk kembali membuka sektor pelancongan di situ. Imuniti kelompok juga telah dicapai situ.
“Selain itu, lokasi pelancongan lain seperti Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Taman Negara Kuala Tahan dan Taman Negeri yang lain termasuk Genting Highland dan Cameron Highlands juga bersedia kembali beroperasi,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Tambah Sharkar lagi pembukaan semula sektor pelancongan perlu dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan pemain industri pelancongan yang terjejas teruk sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
Ujarnya kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) seharusnya melihat perkara ini kerana sektor pelancongan di negeri ini turut menjadi perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, begitu juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.- UMNO Online