COVID: Kes Baharu Menurun Sedikit Ke 18,815, Sarawak Kekal Rekod Kes Tertinggi – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Kes baharu COVID-19 di dalam negara hari ini mencatat sedikit penurunan dengan 18,815 kes direkodkan setakat 12 tengah hari tadi berbanding 19,495 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di platform media sosialnya berkata perkembangan terbaharu ini menjadikan jumlah kumulatif kes kini 2,049,750 kes.

Menurut beliau, Sarawak kekal merekodkan kes harian tertinggi dengan 3,660 kes, disusuli Selangor (2,718) dan Johor dengan 2,206 kes.

Lima negeri pula mencatatkan kes baharu melebihi 1,000 iaitu Sabah dengan 1,982 kes, Pulau Pinang (1,777), Perak (1,446), Kedah (1,233) dan Kelantan (1,222).

Negeri-negeri lain merekodkan kes di bawah empat angka adalah Terengganu (814), Pahang (712), Kuala Lumpur (493), Melaka (269), Negeri Sembilan (170), Perlis (80) dan Putrajaya (22) manakala Labuan kembali merekod kes baharu dengan 11 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) hospital COVID-19 di seluruh negara setakat semalam adalah 81 peratus daripada 1,579 katil, manakala katil bukan ICU sebanyak 71 peratus daripada 17,155 katil. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.