Terus Bersama Rakyat, Puteri UMNO Teruskan Misi Bantuan Rakyat Terjejas COVID-19

SEPANGGAR, 15 Sept – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia meneruskan misi bantuan ke Sabah bagi membantu penduduk terkesan dengan penularan pandemik COVID-19.

Menurut Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan antara kawasan yang dilawati adalah di Sepanggar, Pitas dan Kota Marudu.

“Alhamdulilah misi bantuan di Sabah di hari keempat berjalan lancar.

“Bukan sekadar bawa bantuan, kami datang sekali dengan kasih sayang dan ingatan kepada mereka yang terkesan ketika tempoh krisis sekarang.

“Kami doakan segalanya segera pulih dan kita dapat jalani kehidupan normal seperti dahulu,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Terdahulu beliau bersama pasukannya menghulurkan bantuan keperluan asas kepada mangsa kejadian tanah runtuh di Penampang.

“Kami bergegas ke Penampang untuk melawat keluarga Sarah Grace yang rumahnya ditimpa tanah runtuh tempoh hari, sedih melihat keadaan mereka terpaksa tidur di luar selepas hampir separuh struktur rumah musnah.

“13 penghuni rumah ini sekarang hanya beratapkan kanopi untuk berteduh. Sebagai bantuan kecemasan, kami hantar sebilangan tilam, dapur memasak dan lain-lain keperluan asas. Kami juga akan tukar kanopi sedia ada kepada yang lebih selesa dan sesuai bagi anak-anak kecil ini buat sementara waktu.

“Kami semua doakan Sarah sekeluarga tabah hadapi ujian dan semoga dipermudahkan urusan,” katanya.

Zahida turut memaklumkan pihaknya akan segera menyalurkan bantuan lain hingga rumah mereka kembali pulih seperti sediakala.

Sementara itu, beliau melalui hantaran lain memaklumkan turut membantu mangsa banjir di Kota Belud dengan mengagihkan bekalan makanan seperti beras, minyak, tepung, susu, milo dan banyak lagi di Kampung Pangi, Suang Kina dan Suang Punggur.

“Simpati pada rakyat di Kota Belud, sudahlah berhadapan dengan COVID-19, diuji pula dengan banjir sejak 4 September lalu.

“Semoga tiada gelombang seterusnya dan mangsa terkesan dapat jalani kehidupan seperti biasa,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.