Persidangan DUN Melaka Berlangsung Empat Hari Bermula Isnin

JASIN, 15 Sept – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan berlangsung selama empat hari bermula Isnin ini, kata Timbalan Speaker DUN Datuk Ghazale Muhamad.

Beliau berkata persidangan pertama penggal keempat itu akan dirasmikan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam pada Isnin dan dibenar berlangsung selama empat jam sehari bermula 9.30 pagi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Tiada waktu rehat atau minum kerana tempoh yang dibenarkan bersidang sehari sangat singkat dan kita menerima sebanyak 109 soalan lisan bagi persidangan kali ini dengan 60 hingga 70 peratus daripadanya melibatkan soalan berkaitan COVID-19.

“Disebabkan kekangan masa untuk bersidang, kita mencadangkan bilangan soalan tambahan bagi soalan lisan akan dihadkan daripada tiga kepada dua soalan namun ia bergantung kepada kuasa Speaker,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Tani Khas Hari Malaysia di Pasar Tani Jasin di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu masa bagi setiap ahli dewan membahaskan ucapan dasar perasmian juga akan dipendekkan dan jumlah pembahas juga akan dihadkan bagi melancarkan persidangan berkenaan.

Ghazale berkata hanya 90 individu dibenarkan berada dalam dewan semasa persidangan berkenaan bagi memastikan penjarakan fizikal dapat dilakukan.

Beliau berkata mereka yang terlibat dalam persidangan itu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), petugas dewan dan media perlu menjalani ujian saringan COVID-19 bagi memastikan mereka bebas daripada wabak berkenaan.

Katanya ujian RT-PCR perlu dilakukan pada Jumaat ini dan ujian RTK Antigen Saliva dibuat selama tiga hari berturut-turut sebelum persidangan berlangsung. – BERNAMA