MoU Persefahaman Transformasi Dan Kestabilan Politik Dimensi Politik Baharu Negara – Yusof Ismail

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Satu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan (PH) yang telah ditandatangani bersama oleh pihak parti–parti dalam kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan parti–parti pembangkang dalam PH merupakan satu bentuk dimensi baru dalam landskap politik negara kini.

Kata Ketua UMNO Bahagian Alor Star Datuk Mohd Yusof Ismail, bertepatan dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena pembukaan Mesyuarat Mesyuarat Parlimen pada Isnin supaya semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari titik penyelesaian demi mencapai matlamat untuk kesejahteraan rakyat.

“Bagi saya kita sebagai ahli politik perlu segera mengadaptasi dimensi baru politik ini dalam memikul tanggungjawab untuk membina negara yang lebih sejahtera dan stabil demi generasi anak cucu kita di kemudian hari.

“Sudah terlalu lama kita bertelegah dalam suasana politik lama yang sebenarnya tidak memberi banyak manfaat kepada rakyat malah telah membantut beberapa usaha kerajaan sebelum ini terutama kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk kebaikan rakyat hanya kerana pertelingkahan politik yang merugikan,” katanya dalam satu catatan di Facebooknya.

Tambahnya lagi, pada tahun 1971 selepas peristiwa 13 Mei 1969, Perdana Menteri pada ketika itu Tun Abdul Razak juga telah melakukan perkara yang hampir sama dengan mengajak semua parti-parti duduk bersama untuk membentuk sebuah kerajaan yang lebih stabil selepas peristiwa itu dan dari usaha tersebut terbentuknya parti BN dengan membawa agenda Dasar Ekonomi Baru yang hasilnya sehingga sekarang kita rasai.

Seterusnya jelasnya lagi, sebagai ahli parti, menjadi kewajiban untuk terus mendokong ideologi perjuangan dan memperkuatkan parti namun perlu juga membuka ruang kepada lain-lain parti untuk mereka bersama membina negara ini selagi ianya tidak bertentangan dengan perlembagaan negara.

“Jika ahli parti UMNO tidak dapat mengadaptasi dimensi politik baru ini maka kita akan jauh tertinggal di belakang.

“Zaman sekarang bukan zaman kerajaan sahaja yang tahu segalanya tapi zaman di mana semua orang tahu segala maklumat dan perkara yang berlaku. Rakyat kini sudah terbuka pemikiran mereka dengan teknologi maklumat hanya di jari, sudah pasti mereka juga mempunyai pelbagai maklumat,” katanya.

Ujarnya lagi, dengan termeterainya MoU tersebut, UMNO Bahagian Alor Setar amat yakin Kerajaan Malaysia dengan slogan ‘Keluarga Malaysia’ akan berupaya memastikan pemulihan negara berjalan secara lancar dan inklusif.

“Semoga negara kita kembali ke landasan yang sebetulnya dalam memacu kejayaan demi untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.

Untuk rekod, MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimaktubkan pada Isnin lalu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19; Transformasi Pentadbiran; Pembaharuan Parlimen; Kebebasan Institusi Kehakiman; Perjanjian Malaysia MA63; dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.