MoU: Pemuda UMNO Harap Rang Undang-Undang Akta Lompat Parti Dan Undi 18 Jadi Keutamaan

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menjunjung kasih dan menyokong penuh kenyataan media titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mengalu-alukan kerjasama rentas parti melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September lalu.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata bagi pergerakan itu, MoU ini adalah satu inisiatif yang harus diberikan ruang dan peluang sebaiknya agar satu budaya politik baharu yang segar di samping ‘kestabilan politik’ dapat diwujudkan bagi membolehkan usaha pemulihan negara yang masih bergelut soal ekonomi dan kebajikan rakyat Pandemik COVID-19 dapat dilakukan dengan berkesan.

Bagi memastikan MoU ini berjaya, tambah beliau jiwa besar setiap barisan pimpinan politik bakal menjadi kunci utama sebarang natijah positif yang diharapkan.

“Cabaran dan risiko utama MoU ini adalah pelaksanaannya masih dibayangi oleh ketidakpercayaan dan prejudis sesama wakil rakyat dek sebab isu lompat parti dan pengkhianatan.

“Justeru, usaha penggubalan rang undang-undang anti lompat parti harus menjadi keutamaan di samping memfokuskan aspek-aspek pemerkasaan pelan menangani pandemik, transformasi pentadbiran dan pembaharuan Parlimen yang lain,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook, di sini, hari ini.

Di samping itu juga, Asyraf turut tetap berharap pelaksanaan Undi 18 yang bersekali dengan pendaftaran automatik dapat disegerakan agar hak 5.6 juta (1.2 juta bakal pengundi 18 tahun dan 4.4 juta bakal pengundi 21 tahun ke atas yang belum berdaftar) tidak dinafikan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Pemuda UMNO amat berharap bahawa MoU ini tidak akan menghakis peranan dan semangat SEMAK-IMBANG Parlimen sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita akan tetap meneruskan peranan selaku penyambung lidah dan jurubicara rakyat dan akan terus memantau pelaksanaan MoU ini agar kesannya benar-benar positif kepada kehidupan rakyat keseluruhannya,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.