Lebih 82,000 Orang Asli Seluruh Negara Terima Vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Seramai 82,555 Orang Asli seluruh negara telah menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi 57 peratus daripada 144,180 jumlah keseluruhan Orang Asli yang sepatutnya menerima suntikan vaksin itu.Abdul Rahman Mohamad

“(Baki belum divaksin) ini tidak menjadi masalah, tidak menjadi halangan kepada masyarakat Orang Asli. Mereka semua telah bersetuju menerima vaksin tetapi ini bergantung kepada penerimaan (bekalan) vaksin kepada kita untuk memastikan mereka divaksin.

“…Saya minta kita dapat segerakan vaksin CanSino sebanyak 50,000 (dos) dan saya percaya kita boleh selesaikan 100 peratus vaksinasi kepada masyarakat Orang Asli,” katanya bagi menjawab soalan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) mengenai peratusan Orang Asli yang telah divaksin setakat ini pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Rahman berkata kadar vaksinasi harian Orang Asli turut mencatatkan trend peningkatan susulan inisiatif kerajaan termasuk penyediaan unit bergerak, kerjasama strategik dengan agensi terlibat dan penggunaan optimum aset kerajaan seperti helikopter dan bot ke kawasan pedalaman. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.