Lebih 17 Juta Populasi Negara Lengkap Divaksin

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Sebanyak 54.1 peratus atau 17,653,079 individu daripada keseluruhan populasi di negara ini sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19, setakat semalam.

Kementerian Kesihatan menerusi perkongsian di https://covidnow.moh.gov.my memaklumkan sebanyak 66.3 peratus atau 21,649,228 individu pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 243,971 dos vaksin diberikan semalam menjadikan keseluruhan dos yang diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 39,234,306 dos.

Sementara itu, setakat 11.59 malam 14 Sept, sebanyak 104 kematian sebenar harian COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam, dengan 359 kes kematian tertunggak atau ‘backlog’.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 21,587 kes. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.