Hari Lahir Tanahair… Berhenti Cari Perbezaan, Marilah Ambil Semangat Hari Malaysia – Khaled

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengajak semua untuk mengambil semangat Hari Malaysia dengan menjadi warganegara yang benar-benar meletakkan watan pada takat kepentingan tertinggi.

Katanya, berhenti mencari perbezaan, berhenti berbalah tentang siapa yang lebih dan siapa yang kurang kerana kesemua itu hanyalah pemikiran dangkal yang membawa kepada bibit-bibit perpecahan.

“Hari ini hari lahir tanahair. Pada hari ini 58 tahun yang lalu, terbentuklah sebuah negara bangsa untuk semua.

“Kita mengumpul dan menganyam segala kemajmukan dan perbezaan. Lalu kesemuanya digarap menjadi kekuatan yang kita sama-sama banggakan. Dengan toleransi, persefahaman dan hormat-menghormati,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya.

Ujarnya, kita harus memandang dan mengusahakan masa depan sebagai agenda bersama.

“Semoga Malaysia akan terus makmur, berjaya keluar dari belenggu pandemik dan kembali mendapat rentak menjadi negara yang terbaik untuk kita semua.

“Selamat Hari Malaysia Ke-58,” katanya lagi. – UMNO Online