COVID: Kes Baharu Kembali Cecah Lebih 19,000, Sarawak Tertinggi – Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Setelah empat hari berturut menunjukkan penurunan, kes baharu COVID-19 di dalam negara kembali merekodkan peningkatan dengan merekodkan sebanyak 19,495 kes setakat 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di platform media sosialnya berkata kenaikan sebanyak 3,826 kes berbanding semalam itu menjadikan jumlah kumulatif kes kini 2,030,935 kes.

Katanya Sarawak merekodkan kes harian tertinggi dengan 4,709 kes, disusuli Selangor (2,710) dan Sabah (2,015).

Lima negeri pula mencatatkan kes baharu melebihi 1,000 iaitu Johor dengan 1,860 kes, Pulau Pinang (1,757), Kelantan (1,434), Kedah (1,178) dan Perak (1,174).

Negeri-negeri lain merekodkan kes di bawah empat angka adalah Terengganu (993), Pahang (766), Kuala Lumpur (363), Negeri Sembilan (222), Melaka (190), Perlis (108) dan Putrajaya (16), manakala Labuan sifar kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) hospital COVID-19 di seluruh negara setakat semalam adalah 81 peratus daripada 1,520 katil, manakala katil bukan ICU sebanyak 74 peratus daripada 17,133 katil. – BERNAMA