Akses Internet: KKMM Lancar Pakej Remaja Dan Peranti Keluarga Malaysia
KUALA LUMPUR, 15 Sept – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini melancarkan dua pakej kemudahan akses Internet iaitu Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia.
Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata pakej itu bagi membantu golongan remaja dan pelajar memperoleh akses internet serta memiliki peranti pintar mampu milik terutamanya golongan yang kurang berkemampuan dalam kalangan rakyat negara ini.
Beliau berkata pakej diskaun itu akan bermula 15 Okt depan, berlangsung selama enam bulan dan tempoh pelanjutan dibincang sebelum dua bulan tamat promosi.
“Di bawah Pakej Remaja Keluarga Malaysia, ia adalah pakej prabayar khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah. Dengan hanya RM10 sebulan (dibayar untuk tiga bulan sebanyak RM30), mereka akan mendapat data 20GB untuk tiga bulan.
“Turut diberikan data 1GB (jumlah 90GB) percuma untuk aktiviti produktiviti setiap hari serta internet asas tanpa had. Dengan pakej ini, pengguna boleh melakukan aktiviti seperti penghantaran mesej dan melayari Internet,” katanya.
Annuar berkata demikian pada sidang media pengumuman pakej diskaun perkhidmatan telekomunikasi untuk pelajar universiti di sini hari ini.
Beliau berkata bagi data produktiviti, pembelajaran dalam talian serta aktiviti bekerja dari rumah boleh dilakukan tanpa kekangan data.
“Bagi data 20GB pula, ia boleh digunakan untuk aktiviti seperti muat turun video ataupun permainan dalam talian. Ia boleh membantu pengguna untuk merehatkan diri dengan hiburan.
“Pakej ini memudahkan pelanggan remaja dan pelajar, yang kini tidak perlu lagi menambah nilai setiap bulan. Remaja dan pelajar di bawah umur 21 tahun hanya perlu mendaftar dengan MyKad sementara pelajar melebihi 21 tahun perlu mendaftar dengan kad pelajar,” katanya.
Sementara itu, Annuar berkata kerajaan juga sedar tentang keperluan alat peranti pintar oleh setiap keluarga agar tidak ketinggalan dalam meneruskan kelangsungan hidup.
Beliau berkata melalui Pakej Peranti Keluarga Malaysia, rakyat Malaysia boleh memiliki atau menaik taraf kepada peranti mudah alih dan Voice over Long-Term Evolution (VoLTE) secara percuma.
“Peranti tersebut dapat dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan tertakluk kepada jenis peranti dan perkhidmatan yang dilanggan. Pakej ini termasuk 1GB data percuma untuk aktiviti produktiviti. Setiap pengguna yang layak boleh melanggan sehingga dua pakej dengan mendaftar kad pengenalan yang sama,” katanya.
Annuar turut berharap agar lebih ramai ahli keluarga mendapat manfaat daripada pemilikan peranti mudah alih 4G dan VoLTE untuk melengkapkan khidmat internet mereka.
Beliau berkata masyarakat mahukan kesalinghubungan lebih baik, harga mampu milik dan memastikan penyampaian lebih berkualiti lebih-lebih lagi semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menyaksikan peningkatan mendadak penggunaan Internet untuk pelbagai urusan seperti aktiviti pembelajaran, e-dagang dan juga hiburan.
Kerajaan, katanya bertanggungjawab memastikan bahawa setiap orang mempunyai akses pada kos yang berpatutan untuk memanfaatkan internet dan beliau telah bertemu dengan syarikat telekomunikasi untuk berbincang mengenai cara-cara membantu rakyat dalam jangka masa pendek. – BERNAMA