MoU Transformasi Dan Kestabilan Politik Beri Manfaat Ke Arah Pemulihan Negara – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 14 Sept – UMNO Sabah berpandangan kerjasama antara Kerajaan Pusat dengan blok pembangkang ketika negara berhadapan dengan masalah kesihatan dan ekonomi adalah sesuatu yang positif demi masa hadapan rakyat dan negara.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata walaupun perjanjian kerjasama ini bersifat sementara iaitu blok pembangkang akan menjadi pembangkang di Dewan Rakyat namun pandangan mereka tetap akan diambil kira oleh kerajaan untuk kebaikan negara dan rakyat.

“Perundingan ini dibuat atas kepentingan negara dan rakyat dan selepas keseluruhan rakyat menerima vaksinasi kerajaan boleh mengadakan pilihan raya umum,” katanya ketika dihubungi sebagai mengulas kerjasama antara kerajaan dan blok pembangkang.

Terdahulu, semalam Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik

Menurut Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri, kerjasama itu bukan sahaja akan membawa kebaikan dari sudut politik, malah manfaatnya akan diterjemahkan dalam aspek pemulihan negara pasca COVID-19.

“Kerjasama ini akan sekurang-kurangnya membawa keamanan dalam negara, menjernihkan seketika konflik politik dan sekali gus memberikan kerajaan ruang untuk fokus sepenuhnya terhadap memberi khidmat kepada rakyat.

“Kita tahu rakyat sangat dahagakan bantuan, sokongan dan kepimpinan yang kukuh, jadi kerjasama yang bermakna akan memberi peluang untuk kerajaan bergerak dengan lebih efektif,” katanya.

Tambah Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, pemeteraian MoU itu membentuk kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kita yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengetepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif,” katanya.

MoU yang terhasil dari beberapa siri perbincangan antara wakil kerajaan dan pembangkang sejak akhir bulan ditandatangani secara bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengandungi tujuh tawaran Tranformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Turut menandatangani MoU itu, Setiausaha Agung Dap Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.