KKM Sasar Nisbah Katil Hospital 2.08 Kepada 1,000 Penduduk Pada Akhir RMK12

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan nisbah 2.08 katil hospital bagi 1,000 penduduk menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pada 2020 iaitu tahun akhir RMK11, nisbah 2.01 katil dicapai dengan bilangan katil meningkat daripada 55,952 pada 2016 kepada 65,508 katil pada 2020.

“Bagi mencapai sasaran yang ditetapkan, KKM meneruskan inisiatif untuk menambah bilangan katil menerusi pembinaan hospital baharu dan menaik taraf hospital serta fasiliti sedia ada.

“Tumpuan diberikan kepada kawasan hospital sedia ada yang mempunyai kadar penggunaan katil yang tinggi,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, bagi menjawab soalan S Kesavan (PH-Sungai Siput), hari ini.

Ahli Parlimen itu ingin mengetahui mengenai sasaran kerajaan untuk mencapai tahap penyediaan katil hospital yang lebih tinggi bagi kemudahan kesihatan yang lebih selesa kepada rakyat.

Menjelas lanjut, Khairy berkata faktor lain yang turut diambil kira bagi penyediaan katil di hospital ialah kepadatan penduduk, akses kepada perkhidmatan di hospital sedia ada dan peruntukan kewangan kerajaan.

Beliau berkata KKM turut mengambil pendekatan mengoptimumkan bilangan katil sedia ada menerusi perkhidmatan rawatan harian di hospital-hospital utama bagi mengurangkan keperluan terhadap katil pesakit dan pelaksanaan program hospital kluster.

Sementara itu, Khairy berkata hasil kerjasama KKM dengan 76 hospital swasta di seluruh negara, sebanyak 3,974 prosedur perubatan telah melalui proses penyumberluaran kepada hospital swasta sehingga akhir Julai bagi rawatan pesakit bukan COVID-19.

“Walaupun berhadapan dengan COVID-19, KKM tidak menghentikan atau mengurangkan perkhidmatan kesihatan bagi penyakit bukan COVID-19 terutama untuk kes kecemasan dan separa kecemasan.

“…KKM juga meneliti kebolehlaksanaan penyediaan hospital khas bukan pesakit COVID-19 untuk menjalankan prosedur pembedahan elektif yang tertangguh,” katanya menjawab soalan mengenai prosedur rawatan bagi pesakit bukan COVID-19 ketika ini.

Beliau berkata bagi tujuan itu kementerian akan meminta peruntukan dari Perbendaharaan bagi memastikan kes-kes tertangguh terutama pembedahan bukan elektif dapat diselesaikan secara khidmat luaran kepada hospital swasta.

Khairy berkata langkah yang dilaksana KKM itu adalah bagi memastikan pesakit bukan COVID-19 mendapat rawatan mencukupi termasuk memanjangkan waktu operasi klinik pakar dan dewan bedah di hospital tertentu selepas waktu pejabat serta meningkatkan perkhidmatan klinik secara maya.

Selain itu, beliau berkata KKM turut mengoptimumkan penggunaan hospital bukan pakar dan hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk prosedur pembedahan tertentu melalui program hospital kluster serta memobilisasi pakar KKM dan pakar swasta ke hospital yang tidak menyediakan perkhidmatan kepakaran tertentu. – BERNAMA