Endemik… Kerajaan Jaga Ekonomi, Jamin Keselamatan, Kesejahteraan Termasuk Kesihatan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan walaupun selepas pandemik COVID-19 dikategorikan endemik, kerajaan masih mempunyai tanggungjawab untuk membendung dan mengawal jangkitan.

Jelasnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), kerajaan selain perlu menjaga ekonomi, mesti menjamin keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat termasuk dalam aspek kesihatan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pandangan yang dilontarkan dalam media sosial yang antara lain menyebut apabila isytihar endemik semua sektor akan dibuka seperti biasa dan ketika itu siapa yang terkena jangkitan atau positif maka tanggungan sendiri.

“Saya kurang bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan di media sosial ini. Tidak pasti apa tujuan sebenar ia ditularkan.

“Pandangan yang diviralkan itu boleh memberi tanggapan sangat tidak baik terhadap kerajaan seolah-olah cuba lepas tangan,” katanya dalam kenyatan dalam laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Kerana itu katanya, Malaysia sejak dahulu mempunyai kementerian berkait kesihatan dengan peruntukan yang besar saban tahun bagi membantu rakyat mencapai taraf kesihatan yang membolehkan mereka menjalankan kehidupan ekonomi dan sosial dengan produktif.

“Dengan menyediakan perkhidmatan bercorak penggalakan, pencegahan, rawatan serta pemulihan yang cekap, sesuai serta berkesan.

“Jika denggi mahu dijadikan contoh, bukankah kawalan jangkitan masih dilakukan sehingga hari ini seperti semburan membunuh aedes dan sebagainya.

“Maka begitu juga dengan COVID-19, kawalan jangkitan harus diteruskan oleh kerajaan walaupun telah mencapai imuniti kelompok.”

Ujarnya, ini termasuk dalam aspek pematuhan SOP terutama di tempat awam dan tempat kerja serta kawalan di kawasan tinggi jangkitan.

“Rakyat yang sentiasa menjaga SOP perlu dilindungi daripada segelintir yang mungkin masih bersikap sambil lewa,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.