Ahmad Maslan Ucap Penghargaan, Cadangan Timbalan Speaker Ketiga Dipersetujui Kerajaan

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan yang bersetuju dengan satu daripada transformasi Parlimen yang diutarakan beliau sebelum ini.

Beliau yang juga calon bagi jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata cadangan yang dipersetujui adalah untuk mewujudkan seorang lagi Timbalan Yang di-Pertua / Timbalan Speaker.

“Terima kasih kerajaan kerana setuju cadangan ketiga daripada 20 yang saya utarakan tentang transformasi Parlimen.

“Perlembagaan Persekutuan akan dipinda untuk wujudkan satu lagi Timbalan Speaker menjadikan tiga orang dan satu daripadanya wakili pembangkang.

“Maka pemilihan Timbalan Speaker ditangguh ke sesi bajet bermula 25 Oktober ini,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Terdahulu Setiausaha Agung UMNO itu melontarkan 20 cadangan transformasi Parlimen demi memulihkan kestabilan negara.

Melalui itu beliau juga turut menyarankan agar satu daripada tiga Timbalan Speaker seeloknya adalah daripada Sabah atau Sarawak. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.