Hayati Sambutan Hari Malaysia, Hargai Keunikan Kepelbagaian Diversiti Kaum Dan Etnik – Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September saban tahun perlu dihayati seperti sambutan Hari Kemerdekaan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan ideologi politik, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Jelas beliau, Hari Malaysia juga bukan sekadar memperingati detik sejarah penubuhan Malaysia semata-mata namun ianya perlu diambil dari segi konteks yang lebih mendalam.

“Secara khususnya buat rakyat di kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak sudah tentu menginginkan sesuatu yang lebih signifikan dalam sudut pembinaan negara bangsa unggul dalam menitikberatkan kepentingan dan peranan kedua-dua negeri ini.

“Menerusi Malaysia baharu (perubahan kerajaan) sudah pasti rakyat mengharapkan yang lebih baik daripada kerajaan sebelumnya agar negeri ini lebih maju dan tidak tertinggal dalam arus pembangunan nasional.

“Hubungan kerajaan Persekutuan dan negeri serta urus tadbir yang baik akan menjadi aspek penting dalam memastikan segala perancangan pembangunan dan pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik,” katanya ketika pada sesi temubual eksklusif yang berlangsung baru-baru ini.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah merangkap Pengerusi Bersama Sambutan Hari Malaysia Ke-58 Tahun 2021 berkata rakyat harus bersama-sama berganding bahu untuk membawa Malaysia menuju ke arah negara yang makmur, maju, gemilang dan mempertahankan kedaulatan.

Menurut beliau ini kerana Hari Malaysia merupakan simbolik kepada penyatuan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, di mana seluruh rakyat harus menghormati antara satu sama lain dan menghargai keunikan kepelbagaian diversiti kaum dan etnik di Malaysia.

“Dalam keadaan ini, wacana dan naratif yang betul dan waras mengenai sejarah pembentukan Malaysia amat perlu disemai supaya sentimen negatif tidak terus bersemarak dan akhirnya melemahkan sistem persekutuan dan menghancurkan kedaulatan negara pada jangka panjang.

“Usahlah kita membawa sentimen-sentimen negatif yang boleh menjejaskan kemajuan dan kemakmuran bersama.

“Rakyat perlu faham akan nikmat yang diperoleh sejak Malaysia dibentuk, serta kesan dan implikasinya jika kita asyik bertelagah, tidak bersatu dan lebih buruk lagi, jika mengambil tindakan untuk keluar Malaysia. Selain perlu memperkukuhkan persepaduan sosial dan integrasi nasional, kita juga tidak harus lupa untuk untuk memgembalikan hak-hak yang telah dipersetujui bersama,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.