Agong Percaya Kerajaan Mampu Buktikan Pencapaian Awal

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah percaya kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama menerusi amalan budaya kerja berprestasi tinggi serta tumpuan mencapai sasaran jangka pendek dan panjang.

Seri Paduka bertitah negara kini berada di landasan yang kukuh dalam menangani pandemik COVID-19 menerusi pembentukan Majlis Pemulihan Negara, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan serta pakej bantuan kewangan dan rangsangan ekonomi kepada rakyat.

Bagaimanapun, menurut Al-Sultan Abdullah kerajaan yang baharu dibentuk ini hendaklah segera melipat ganda usaha memerangi COVID-19 dan membawa negara serta rakyat keluar daripada ancaman pandemik itu.

Justeru, Seri Paduka menyeru semua agensi kerajaan serta wakil rakyat bertindak proaktif turun padang untuk meninjau dan menyelami isu-isu rakyat dari dekat serta memantau pencapaian program-program yang diumumkan.

“Program jaringan keselamatan sosial seperti inisiatif Wilayah Cakna, Wilayah Bebas Berniaga dan usahawan anak muda kota yang berupaya untuk meringankan bebanan warga kota hendaklah terus diberi tumpuan,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.

Pada masa sama, Seri Paduka bertitah program pembangunan luar bandar perlu terus dipertingkat dan diperkasa berikutan 7.6 juta warganegara adalah penduduk luar bandar termasuk 198,015 penduduk Orang Asli.

Al-Sultan Abdullah bertitah kerajaan perlu menentukan pelan strategik pembangunan luar bandar dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang meliputi infrastruktur, ekonomi, keusahawanan, modal insan dan sistem penyampaian dapat dilaksana bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar selain menghadapi pandemik COVID-19.

Kerajaan juga perlu memberi tumpuan dalam penyediaan infrastruktur perkhidmatan jalur lebar ke seluruh negara bagi pembentukan ekosistem digital lebih baik yang bakal mendorong transformasi sistem penyampaian kerajaan, membantu pertumbuhan ekonomi serta meningkat keupayaan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana.

“Persekitaran mesra digital serta penggunaan automasi dan teknologi tinggi boleh menjadi pemangkin kepada negara untuk beralih daripada industri berintensifkan buruh kos rendah kepada industri berteknologi tinggi. Ia boleh memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan seterusnya berupaya mengurangkan penggunaan tenaga buruh asing,” titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka bertitah pendidikan pasca pandemik juga memerlukan rancangan jangka masa panjang yang mapan dan telus serta bersifat holistik dan komprehensif, selain pendidikan akhlak dan kerohanian wajar diberi tumpuan.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah agensi yang bertanggungjawab terhadap pertahanan dan keselamatan negara termasuk keselamatan siber perlu sentiasa bersiap siaga dan terus meningkatkan keupayaan masing-masing.

“Sebarang bentuk tindakan yang cuba mencabar kedaulatan negara hendaklah segera ditangani agar Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman lagi berdaulat,” titah Seri Paduka.

Sementara itu, Seri Paduka menyambut baik langkah kerajaan dalam menggalakkan amalan tadbir urus yang baik berteraskan integriti dengan amalan seumpama itu dapat mewujudkan sistem pemerintahan dan pentadbiran berintegriti, telus dan cekap.

“Oleh yang demikian, adalah amat bertepatan bagi pelan antirasuah nasional dan pelan antirasuah organisasi untuk terus didokong bagi mencapai aspirasi rakyat beta untuk hidup dalam sebuah negara yang bebas rasuah dan berintegriti,” titah Seri Paduka.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.