UMNO Perlu Peroleh Mandat Rakyat Pada PRU15, Terajui Negara Kembalikan Kegemilangan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Sept – UMNO perlu menjadi parti politik yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan memperoleh mandat yang kukuh untuk menerajui kembali kerajaan seperti mana pernah negara nikmati, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya ianya sekali gus dapat mengembalikan kegemilangannya sebagai wadah buat rakyat bersandarkan kepada kepentingan dan kesejahteraan mereka.

“Untuk tujuan itu UMNO perlu fokus, usah terlalai apatah terpengaruh dengan ungkapan yang cuba mengelirukan. Segala strategi yang direncanakan haruslah tersusun dan tersisip kemas.

“Wacana ini tidak boleh dikatakan sebagai dahagakan kuasa sebaliknya fitrah sebagai parti politik mahu diyakini rakyat.

“Namun sejarah menyaksikan betapa UMNO/Barisan Nasional (BN) jua yang berupaya mengemudi negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Kata Pengerusi BN itu lagi Malaysia telah menyaksikan kegagalan kerajaan 22 bulan mentadbir negara yang akhirnya tumbang dengan sendirinya.

Malah tegas beliau, ianya diteruskan juga dengan kegagalan kerajaan 18 bulan dalam menjaga rakyat sehingga memaksa UMNO campur tangan merombak kerajaan tersebut.

“Senario yang amat berbeza berbanding UMNO dikalahkan dengan propaganda pembohongan tidak bertepi pada PRU14.

“Namun saya mengerti masih ada usaha mengangkat kisah kekalahan lalu untuk memperlekeh kemampuan UMNO bangkit.

“Enggan menerima hakikat bahawa persepsi telah berubah dan rakyat tidak lagi boleh dipermainkan dengan ilusi dan propaganda yang diulang,” ujarnya.

Jelas beliau, realitinya pada waktu ini majoriti rakyat telah pun memperakui UMNO tewas pada PRU14 lalu adalah angkara fitnah dan tipu daya.

Ujar Ahmad Zahid ramai mula membuka mata negara yang kononnya akan bankrap di bawah pimpinan UMNO rupa-rupanya tidak begitu.

“Segala dasar dan polisi pentadbiran oleh UMNO terserlah tepat lagi telus ke arah kesejahteraan dan kemakmuran yang berpanjangan.

“Tohmahan terhadap pimpinan UMNO pula semakin diketahui temberang yang bermatlamatkan character assassination.

“UMNO pasti teruskan momentum kebangkitan. Sekali melangkah pantang mundur. Demi agama, bangsa dan tanah air. Kepada Allah kita berserah,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.