Kontroversi Solat Jumaat Ibarat Cubit Paha Kanan, Paha Kiri Terasa… – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, umat Islam yang menonton rakaman video berhubung dakwaan layanan berbeza kepada jemaah yang mahu menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid semalam pasti terasa hati ibarat cubit paha kiri, paha kanan terasa juga.

Maklumnya, antara rungutan yang boleh dengari dengan jelas dalam rakaman video itu ‘mahu solat pun perlu guna kabel’ ekoran VIP dibenarkan menunaikan solat Jumaat, tetapi orang biasa dilarang.

Kata Ahmad Zahid, walaupun kontroversi ini dijawab pihak pengurusan masjid iaitu dengan kapasiti jemaah telah penuh seramai 300 orang, manakala individu yang datang kemudian dibenarkan masuk kerana telah mendaftar lebih awal, namun ia boleh dielakkan.

“Bagaimanapun inilah keadaan yang mahu dielakkan semasa saya mencadangkan agar solat Jumaat dibenarkan di dewan atau surau yang banyak tersedia di sesebuah kawasan.

“Tujuannya supaya umat Islam negara ini mempunyai lebih banyak lokasi pilihan untuk menunaikan solat Jumaat di kawasan masing-masing semasa pandemik mahupun endemik.”

Katanya, ini sekali gus memberi peluang kepada setiap umat Islam untuk menunaikan solat Jumaat dengan mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Dalam keadaan ramai individu dewasa Malaysia dilaporkan telah lengkap dua dos suntikan vaksin, saya fikir cadangan itu mungkin lebih wajar untuk dipertimbangkan pada waktu ini,” katanya lagi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian menerusi laman facebooknya hari ini merujuk insiden tular diperkatakan warganet apabila ramai dihalang memasuki masjid tersebut walaupun Putrajaya sudah beralih ke Fasa 2 PPN. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.