Transformasi Parlimen Mampu Ubah Konsep Politik Semasa – Annuar

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan yang ditawarkan hari ini mampu merubah landskap politik negara daripada bersifat konfrontasi kepada yang tidak terlalu partisan sifatnya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Bagi beliau, ia satu pencapaian yang mempunyai makna amat besar, begitu juga kesannya kepada negara.

“Ia merupakan satu permulaan, saya berkeyakinan dalam masa terdekat kerajaan akan ambil beberapa lagi langkah bersifat transformatif yang lazimnya kalau dulu tidak dilaksanakan, tetapi kerajaan pimpinan Perdana Menteri sekarang saya nampak mempunyai keazaman politik tanpa sebarang keraguan untuk melakukan kebaikan untuk negara,” katanya.

Annuar berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif bertajuk Hari Malaysia: Kita Keluarga Malaysia terbitan RTM malam tadi.

Tujuh Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan diumum Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini dalam usaha mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Ia termasuk pembentangan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti, pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat dan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Yakin ia akan disambut baik rakyat dan pemimpin parti pembangkang, Annuar turut melihat konsep inklusif yang cuba diterapkan kerajaan ini akan terus menjadi satu teras dalam kepimpinan Perdana Menteri dalam memajukan negara.
Mengulas mengenai Keluarga Malaysia, Annuar berkata konsep berkenaan mampu menjadi satu kekuatan yang cukup hebat kepada perpaduan dan semangat patriotik rakyat kepada negara.

“Nilai-nilai harmoni, bersatu padu, ada rasa kecintaan, keprihatinan satu sama lain, kerukunan, kalau kita terjemah nilai-nilai itu dalam pengurusan negara ia menjadi satu falsafah pengurusan yang sangat besar maknanya pada pembinaan negara bangsa,” katanya.

Malah beliau berkata konsep berkenaan amat bersesuaian diperkenalkan menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lepas dan Hari Malaysia pada 16 Sept ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.