Teliti Pembukaan Sekolah Di Kawasan Tinggi Kadar Jangkitan COVID-19 – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan Kementerian Pendidikan (KPM) wajar mengkaji semula pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka bermula Oktober ini.

Jelas beliau ini kerana sebahagian ibu bapa berdepan dilema membenarkan anak kembali ke sekolah pada waktu kadar jangkitan kes COVID-19 masih tinggi.

“KPM wajar mempertimbang pembukaan sekolah berdasarkan kawasan yang sangat rendah kadar jangkitan.

“Manakala bagi kawasan masih tinggi kadar jangkitan, sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan walau dalam negeri Fasa 2 dan 3.

“Ini akan memberi keyakinan kepada ibu bapa dan para guru untuk sesi persekolahan secara bersemuka di kawasan kurang jangkitan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi ianya juga sebagai dorongan kepada anggota masyarakat mempertingkatkan tekad mengurangkan kadar jangkitan dalam kawasan masing-masing.

“Kerajaan perlu mengambil kira kebimbangan ibu bapa kerana mereka berhak untuk berasa
resah terhadap risiko keselamatan anak-anak mereka.

“Ini cuma bersifat sementara berdasarkan penegasan Kementerian Kesihatan Malaysia kadar vaksinasi yang tinggi akan menurunkan kadar jangkitan di seluruh negara,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.