Pemuda UMNO Pejuangkan Pekerja, Tubuh Sekretariat Hal-Ehwal Kebajikan Pekerja-Pekerja Muda

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Menubuhkan Sekretariat Hal-Ehwal Kebajikan Pekerja-Pekerja Muda untuk bekerjasama dengan kesatuan-kesatuan sekerja seluruh Malaysia bagi membantu memperjuangkan isu-isu yang menyentuh kepentingan pekerja muda termasuklah dalam sektor GIG Ekonomi seperti E-Hailing dan P-Hailing.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata demikian dalam kenyataan selepas Mesyuarat Bulanan Exco/Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia secara atas talian malam tadi.
Katanya, sekretariat terbabit akan diketuai oleh Exco Pemuda, Fairuz Jamaluddin.
Ujarnya, antara ketetapan penting yang diputuskan ialah mewujudkan Pasukan Khas yang diketuai oleh Exco Pemuda, Muhammad Nur Aizat Nor Azam, untuk memfokuskan gerakkerja dan strategi mendekati dan menyantuni pengundi-pengundi muda khususnya undi 18 yang menjadi agenda perjuangan Pemuda UMNO.
“Meneruskan usaha mendekati anak-anak muda bagi mendapatkan maklum-balas mengenai harapan mereka terhadap Bajet Negara 2022. Pasukan Khas yang telahpun dibentuk dan diketuai Exco Pemuda Saudara Azril Rizal dan Exco Pemuda BN Datuk Nizar akan segera mengumpulkan suara-suara dan aspirasi anak muda di seluruh Negeri dengan kerjasama Pemuda-Pemuda UMNO negeri-negeri untuk diangkat sebagai Memorandum Cadangan bagi dipertimbangkan oleh Menteri Kewangan sebagai Bajet Negara 2022.
“Pemuda UMNO akan terus berjuang membela kepentingan rakyat dan menjadi penyambung lidah mereka di bawah #PemudaJurubicaraRakyat sekaligus sebagai penghubung kepada Kerajaan.
“Ini termasuklah usaha memastikan semua 10 #Tuntutan Rakyat yang dirumuskan daripada maklum balas rakyat kepada Pemuda UMNO sebelum ini untuk terus diperjuangkan.”
Jelasnya, program pentarbiyahan untuk seluruh Sukarelawan Skuad Sabil di semua 191 Bahagian seluruh Malaysia akan dimulakan setiap hari Khamis malam secara atas talian melalui program dikenali sebagai Halaqah Ilmu Skuad Sabil bagi mencanai dan memantapkan idealisme perjuangan bersandarkan roh dan prinsip Agama.
“Untuk itu, seluruh 191 anggota Sekretariat Agamawan Muda di bawah kendalian Exco Pemuda Ustaz Afif Farhi akan digerakkan bagi tujuan mengepalai program pentarbiyahan ini.
“Moga Allah mempermudahkan dan memberkati perjuangan Pemuda UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.